Monday, October 18, 2010

JMM dihalang adakan perhimpunan

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Hasrat beratus-ratus orang untuk mengadakan demonstrasi secara aman terhadap portal berita pembangkang, Malaysian Insider di hadapan bangunan Wisma UOA, Bangsar hari ini tidak kesampaian apabila polis menghalang cubaan tersebut.

Usaha mengadakan demonstrasi itu diketuai Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang melahirkan kebimbangan terhadap tindak tanduk portal berkenaan yang dikhuatiri boleh mendatangkan ancaman kepada negara.

Difahamkan hampir 1,000 dijangka menyertai demonstrasi yang sepatutnya diadakan selepas solat Jumaat. Bagaimanapun, polis yang mendapat tahu mengenai rancangan itu bertindak lebih awal menghalang perhimpunan dan perarakan.

Selepas solat Jumaat, polis memanggil empat pemimpin JMM yang dikatakan merancang mengadakan perarakan dan demonstrasi itu.

Mereka dipanggil sejurus selepas selesai menunaikan solat di Masjid Saidina Abu Bakar As-Sidiq, Bangsar.

Mereka yang dipanggil ialah Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah; Timbalannya, Omar Salleh; Setiausaha Agung, Tengku Amaludin Sani Raja Ahmad Sufian dan Bendahari Agung, Yusuf Mahmud.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis memanggil empat pemimpin itu selepas pihaknya mengetahui pertubuhan itu akan melakukan demonstrasi.

"Namun selepas melakukan perbincangan dan diberikan nasihat, mereka telah dilepaskan tanpa sebarang penahanan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Azwanddin ketika ditemui selepas melakukan perbincangan dengan pihak polis berkata, walaupun hasrat JMM terpaksa dibatalkan, namun beliau bertekad untuk mengadakan demonstrasi itu bagi mendesak Malaysian Insider menghentikan operasi mereka.

Menurutnya, JMM akan menukar waktu demonstrasi selepas ini supaya ia berjaya dilakukan.

Dakwanya, sejurus selesai solat Jumaat itu, telah wujud Gerakan Anti Malaysian Insider (GAMI) yang ditubuhkan JMM untuk menggerakkan demonstrasi tersebut.
-source Utusan Malaysia 15/10/2010