Empat pemimpin Jaringan Melayu Malaysia (JMM), termasuk yang dipertuanya, Azwandin Hamzah ditahan polis di hadapan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq Bangsar selepas solat Jumaat hari ini.
Mereka dijadual untuk mengadakan perhimpunan anti sebuah portal berita - Malaysian Insider.
Tiga lagi pemimpin JMM yang ditahan ialah Naib Yang Dipertuanya, Omar Salleh; Setiausahanya, Tengku Amalluddin Sani dan Bendaharinya, Yusof Mahmud.
Mereka dibawa ke ibupejabat polis Brickfields untuk memberi keterangan mengenai tujuan mereka berhimpun di situ.
Mereka dibebaskan kira-kira jam 4 petang tadi.
Sebelum itu, anggota polis dilihat menghampiri Tengku Sani yang sedang berdiri di persimpangan lampu isyarat di depan masjid tersebut, sambil membawa pembesar suara.
Ketika dia sedang disoal oleh anggota polis, Azwandin pula datang, difahamkan, untuk bertanya apa yang berlaku.
Para wartawan dan jurugambar turut menghampiri mereka. Azwandin kedengaran meminta polis memberi alasan mengapa mereka tidak boleh berkumpul di situ.
Polis kemudiannya meminta Azwandin menunjukkan kad pengenalannya, tetapi pada mulanya beliau enggan berbuat demikian.
Selepas arahan sebanyak tiga kali diberikan, akhirnya beliau akur dengan arahan tersebut.
Tidak lama selepas itu, kedengaran arahan supaya pembantunya ditahan, menyebabkan mereka berpautan bagi mengelak ditahan polis.
Kemudiaan beberapa anggota polis membawa pembantu Azwandin masuk ke dalam kereta poranda polis.
Azwandin juga turut ditahan sejurus kemudian dengan tangannya digari.
Beliau juga dimasukkan ke dalam kereta peronda yang sama dan kedua-duanya kemudiannya dipercaya dibawa ke balai polis.
Insiden itu menarik perhatian para jemaah yang baru selesai mengerjakan solat Jumaat.
Berikutan itu, perhimpunan anti Malaysian Insider yang diwar-warkan sebelum itu, tidak berlaku.
Sebelum itu, kira-kira 20 anggota polis kelihatan mengawal lalulintas dan sekitar masjid tersebut ketika jemaah bersolat Jumaat.
Anggota polis juga kelihatan di hadapan bangunan UOA yang terletak tidak jauh dari masjid tersebut, yang menempatkan pejabat Malaysian Insider.
Sementara itu, Tengku Sani ketika dihubungi Malaysiakini petang ini berkata mereka memberi kerjasama sepenuhnya ketika memberi keterangan kepada pihak polis.
Katanya, mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
source: mkini 15/10/2010
No comments:
Post a Comment