KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kerajaan digesa menyiasat dakwaan tentang terdapat pemimpin politik tempatan yang mendalangi tindakan kumpulan pelampau Indonesia yang menganjurkan demonstrasi anti-Malaysia di Jakarta baru-baru ini.
Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) berkata, jika benar mereka terlibat, kerakyatan pengkhianat negara itu sepatutnya dilucutkan kerana cuba memburuk-burukkan negara dengan menggunakan pihak luar.
“Saya minta kerajaan siasat dakwaan ini dan membentangkan segala bukti di Dewan Rakyat agar dapat kita lucutkan kerakyatan pengkhianat negara ini. Namun, saya harap cerita penglibatan pemimpin pembangkang dari Jakarta ke Putrajaya ini tidak benar.
“Saya juga menyeru Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati kawan-kawannya yang amat berpengaruh di Indonesia kerana beliau pernah memberitahu saya dulu, pengaruhnya di kalangan pemimpin luar negara amat kuat sehingga dia yakin boleh menang jika bertanding jawatan Presiden Indonesia,” ujarnya.
Ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini, Zahrain turut membidas tindakan pembangkang yang mempertikaikan kos perbelanjaan bagi perjalanan rasmi pemimpin tertinggi negara.
Zahrain berkata, pada mulanya beliau sendiri agak terkejut dengan perbelanjaan berjumlah RM21 juta untuk menampung kos perjalanan rasmi Perdana Menteri dan timbalannya selama dua tahun dari 2008.
Namun, katanya, jumlah tersebut adalah berpatutan setelah meneliti tujuan perjalanan rasmi dan pulangan yang dikecapi daripadanya.
“Pemimpin negara tidaklah ke luar negara untuk menagih simpati atau sokongan politik jauh sekali untuk mencemarkan nama Malaysia di negara asing seperti yang lazim dilakukan segelintir pemimpin politik lain.
“Saya ingin bertanya, siapakah sebenarnya yang menyalahgunakan kepercayaan rakyat dan melakukan pembaziran demi memenuhi impian peribadi mereka? Sekarang ini merekalah yang paling lantang mengkritik kos perjalanan rasmi pemimpin tertinggi kerajaan, tetapi apakah kita sudah lupa misi tidak bermoral beberapa wakil rakyat pembangkang ke luar negara sebelum ini?
“Siapa yang membiayai perjalanan wakil rakyat pembangkang ke Taiwan dan Hong Kong ketika sedang mabuk kuasa yang sedikit dikecapi selepas pilihan raya umum 2008. Duit siapa yang dibazir untuk menampung kos perjalanan ejen Ketua Pembangkang dalam usaha menawan Putrajaya pada 16 September,” ujarnya.
Zahrain berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dianggap seperti ‘retak menunggu belah’ apabila ahli-ahlinya kini mulai sedar bahawa perjuangan reformasi parti itu telah berkubur dan yang tinggal hanyalah perjuangan Anwar untuk ke Putrajaya.
Katanya, beliau pasti sekarang lebih ramai yang mengenali Anwar dan sebab itu PKR kini dilanda tsunami politik dalaman.
“Kini ada yang menganggap pembohongan 16 September sebagai sesuatu yang telah berlalu dan remeh, tetapi saya pasti mereka yang tertipu dengan pembohongan Ketua Pembangkang sedar dengan dakyah manusia tidak bermoral yang bertopengkan agama itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment