Monday, June 4, 2012

Siasat dakwaan dedah maklumat sulit pelanggan


KUALA LUMPUR: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mahu Bank Negara menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang didakwa melakukan salah laku mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) kerana mendedahkan maklumat sulit pelanggan.


Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, ini kerana ia isu serius yang membabitkan keselamatan data pelanggan sebagaimana yang berlaku ke atas akaun syarikat Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Katanya, individu terbabit mungkin tidak mempunyai motif peribadi membongkar maklumat sulit bank kerana beliau seorang kerani, tetapi besar kemungkinan beliau dihasut atau disogok untuk menjual maklumat berkenaan.

"JMM mahu tahu sama ada individu terbabit tanpa disedari menjadi mangsa perasuah atau mangsa hasutan.

"Untuk itu JMM meminta ia dapat diperjelaskan segara kerana kita tidak mahu pelanggan bank merasa tidak selamat kerana bank begitu mudah mendedahkan maklumat peribadi pelanggan sewenang-wenangnya," katanya ketika dihubungi semalam.

Azwanddin berkata, jika perkara itu terbukti salah, pihak berkuasa wajib mengambil tindakan yang tegas dan adil kepada pihak terbabit.

Katanya, bank sepatutnya bertindak sebagai pemegang amanah dan bukannya penjual maklumat malah pelanggan sepatutnya mendapat keadilan sewajarnya dan tidak sepatutnya sewenang-wenangnya maklumat mereka didedahkan pihak tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment