Wednesday, May 23, 2012

Pendedahan maklumat bank mungkin libatkan sogokan


KUALA LUMPUR 21 Mei - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) percaya kakitangan bank yang terlibat mendedahkan maklumat perbankan pelanggan dijanjikan habuan oleh pihak tertentu sehingga sanggup mengambil risiko melakukan jenayah di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989.

Sehubungan itu, Presidennya, Azwanddin Hamzah meminta Bank Negara Malaysia (BNM) membuat siasatan ke atas kakitangan yang terlibat dalam kegiatan berkenaan kerana secara tidak langsung tindakannya boleh menjatuhkan kredibiliti bank terlibat.




"Dalam kes-kes sebegini apa insentif yang dijanjikan sehingga kakitangan itu sanggup dan bersedia untuk berhadapan dengan hukuman penjara lima tahun atau denda RM5 juta di bawah BAFIA dan siapa yang memberi habuan kepada individu itu.

"Kami yakin bahawa individu tersebut tidak ada motif peribadi untuk membongkar maklumat sulit bank. Besar kemungkinan dia dihasut atau disogok untuk menjual maklumat tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan pelbagai pihak kepada BNM supaya mengenakan tindakan tegas di bawah BAFIA terhadap institusi kewangan yang menyalurkan maklumat akaun peribadi seseorang kepada pihak ketiga.

Sementara itu, Perunding Antropologi Open University Malaysia (OUM), Prof. Dr. Mohamed Yusoff Ismail berkata, sekiranya mana-mana bank terlibat secara sengaja dalam membenarkan maklumat peribadi diberikan kepada pihak ketiga, ia dikategorikan sebagai jenayah sivil.

Beliau percaya wujud unsur penipuan dan penyelewengan di kalangan individu dalam institusi kewangan terbabit kerana ia berlaku dengan lancar.

"Ini yang disebut kerja melibatkan orang dalam. Berikutan situasi itu, bank dilihat seolah-olah sedang mengalami masalah integriti dan kredibiliti di kalangan pegawainya.

"Bagi saya jika timbul situasi seperti ini, buatlah apa sahaja peraturan, tetapi jika integriti tiada, maka sistem perbankan akan sentiasa bermasalah," katanya.

No comments:

Post a Comment