KUALA LUMPUR: Dakwaan PAS bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak, akan mengadakan pilihan raya ketika umat Islam menunaikan ibadat
haji adalah gimik politik menunjukkan kononnya kerajaan tidak prihatin dengan
ibadat umat Islam.
Malah, dakwaan itu juga dilihat hanya gimik politik
pembangkang khususnya PAS untuk menakut-nakutkan rakyat dengan sentimen agama
yang cukup sensitif.
Penganalisis politik, Prof Dr Samsul Adabi Mamat, berkata
adalah mustahil kerajaan pimpinan Najib mengadakan pilihan raya umum ketika
musim haji kerana ia bertentangan dengan prinsip dan slogan beliau iaitu
`rakyat didahulukan'.
"Dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang
menjangka pilihan raya berlangsung ketika musim haji sekadar menakutkan
pengundi saja.
"Ini untuk menunjukkan kepada penyokong mereka
seolah-olah kerajaan ketika ini terlalu takut dengan kekuatan pembangkang
hingga terpaksa mengadakan pilihan raya umum ketika musim haji," katanya
ketika dihubungi semalam.
Abdul Hadi dalam kenyataan kepada pemberita di Alor Setar
kelmarin berkata, Perdana Menteri dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) pada September depan ketika musim haji bagi memastikan kejayaan
Barisan Nasional (BN).
Tindakan itu didakwa berikutan banyak penyokong PAS akan
mengerjakan haji pada masa itu dan UMNO sebagai parti tunjang BN akan
menggunakan pelbagai kaedah untuk mengelakkan isu sebenar berhubung
membersihkan sistem pilihan raya sebelum pengundian.
Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM),
Azwanddin Hamzah, berkata kenyataan PAS itu dilihat sudah terlalu terdesak dan
dibuat bagi menimbulkan kegelisahan dan ketakutan di kalangan penyokong mereka.
Katanya, tarikh pilihan raya masih lagi rahsia dan hanya
Perdana Menteri tahu bila diadakan dan adalah mustahil beliau mengadakan
pilihan raya pada waktu itu kerana tindakannya itu hanya akan mendapat kecaman
kerana mengetepikan hak pengundi lain.
"Pembangkang sengaja memperlihatkan kononnya kerajaan
BN seolah-olah tidak peduli dan tidak mengambil berat soal itu, malah
seolah-olah hanya orang PAS saja mengerjakan haji dan orang parti lain tidak
berbuat demikian.
"Kenyataan Hadi sengaja mencetuskan sentimen yang boleh
menimbulkan kemarahan umat Islam yang mungkin tidak dapat mengundi kerana
menunaikan haji," katanya
No comments:
Post a Comment