KUALA LUMPUR 7 April - Hampir 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diterajui Jaringan Melayu Malaysia (JMM) akan mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 21 April ini bagi menyatakan bantahan terhadap usaha terancang pihak tertentu menjayakan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta seks bebas di negara ini.
Pengerusi JMM, Azwanddin Hamzah berkata, pada perhimpunan yang bakal diadakan di Dataran Merdeka itu beliau akan turut mendedahkan NGO tempatan yang menerima dana daripada pertubuhan Lesbian, Gay, Biseksual, Trans dan Interseks Antarabangsa (Ilga) bagi mempromosikan gaya hidup LGBT, seks bebas serta perkahwinan sejenis di negara ini.
Lebih memalukan katanya, terdapat pemimpin pembangkang yang jelas menyokong agenda songsang itu dengan mengatakan undang-undang negara ini mengenai hubungan seks sejenis sebagai lapuk demi mendapat sokongan politik pada pilihan raya umum akan datang.
"Kita tidak menentang orang yang Allah bagi secara lahiriahnya lembut, tetapi menentang orang (pihak) yang merancang menjadikan kebebasan seks sebagai budaya seperti Ilga kerana ia jelas bertentangan dengan cara hidup masyarakat di negara ini.
"Kita tidak mendiskriminasi mana-mana pihak tetapi mereka sepatutnya mewujudkan NGO untuk menarik rakan-rakan yang ada masalah ini kembali ke jalan benar, bukan terus mempromosi mereka ke arah maksiat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sidang akhbar itu turut dihadiri kira-kira 30 pemimpin serta wakil NGO seperti Pertubuhan Warisan dan Kebajikan Anak Malaysia Selangor (Waris Malaya); Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS); Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM); Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Selangor dan Kuala Lumpur serta Ikatan Cina Insan Malaysia.
Azwaddin menambah, perhimpunan itu juga bagi menunjukkan solidariti NGO tempatan membantah gerakan promosi LGBT dan seks bebas menerusi dana yang disediakan Israel mulai 2005 untuk menjadikan negara tersebut lokasi mesra golongan LGBT seterusnya mengembangkan penerimaan terhadap golongan berkenaan ke seluruh dunia.
"Apa yang kita lihat mereka terus menggunakan topeng hak asasi dan kebebasan bersuara untuk (mendapat perintah undang-undang) menukar kad pengenalan dan jantina, termasuk memfail di mahkamah untuk diberikan hak ini," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Waris Malaya, Sheikh Meshal Sheikh Ahmad pula berkata, kerajaan seharusnya memberikan permit bagi mereka menjayakan perhimpunan itu kerana ia bertujuan menjaga institusi kekeluargaan di negara ini serta mempertahankan akidah umat Islam.
"Jika kami tidak boleh berhimpun, saya harap kami tidak dianaktirikan apabila Bersih 3.0 juga akan mengadakan perhimpunan di lokasi sama pada 28 April ini," tegasnya.
Jelasnya, kedua-dua perhimpunan itu amat berbeza kerana Bersih 3.0 dilaksanakan atas dasar politik sementara perhimpunan menentang LGBT pula adalah untuk kepentingan akhlak generasi muda.
No comments:
Post a Comment