Monday, April 9, 2012

Dana anjur LGBT

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendakwa beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan menerima dana berjumlah jutaan ringgit daripada NGO di luar negara bagi mempromosikan pengiktirafan kedudukan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) yang diharam kerajaan.



Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, ia adalah gerakan terancang yang menggunakan nama pemimpin dan individu tertentu bagi mempromosikan kegiatan itu.

"Kita percaya penularan LGBT dan seks bebas di negara ini didalangi beberapa individu serta NGO yang dijalankan secara terancang bertujuan merosakkan anak bangsa Malaysia.

"Kita ada bukti pembabitan sebuah NGO tempatan yang menerima imbuhan dalam jumlah melebihi jutaan ringgit daripada NGO luar negara. NGO terbabit kemudian mengagihkannya kepada beberapa NGO lain yang turut didalangi pemimpin parti pembangkang," katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini, semalam.

Hadir sama beberapa pemimpin NGO lain, antaranya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Perkasa Selangor, Pertubuhan Warisan dan Kebajikan Anak Malaysia Selangor (Waris Malaya) dan Ikatan Cina Ihsan Malaysia.

Azwanddin berkata, perkara itu akan didedahkan dalam Perhimpunan Aman Besar-besaran Rakyat Bantah Seks Bebas dan LGBT Terancang anjuran JMM bersama 30 NGO lain di Dataran Merdeka pada 21 April ini.

"Sebagai rakyat Malaysia yang menolak sebarang perbuatan merosakkan pegangan agama, kami berasa bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan berkenaan bagi menyuarakan bantahan terhadap golongan terbabit yang secara terang-terangan mahu mempromosikan seks bebas dan LGBT serta mendesak kerajaan menghalalkan perkahwinan sejenis atas nama demokrasi dan hak asasi.

"Kita bukan menolak golongan yang memang dilahirkan lembut, tetapi menolak pihak yang merancang ia dijadikan amalan di negara ini.

"Mereka sepatutnya mewujudkan NGO untuk membawa golongan terbabit ke jalan benar, bukan mempromosi terus ke jalan maksiat," katanya.

Azwanddin berkata, perhimpunan berkenaan tidak bermotif politik, tetapi diadakan demi kepentingan akidah rakyat negara ini.

"Kita juga mula bergerak ke seluruh negara mengedarkan risalah mengenai perhimpunan berkenaan. Kita tidak meletakkan sasaran, tetapi akan menarik seberapa ramai yang boleh. Setakat ini, Waris Malaya mengesahkan akan membawa lebih 10,000 anak muda menghadiri perhimpunan," katanya.

Dalam pada itu, Azwanddin berkata, beliau akan menemui polis esok untuk permohonan permit dan berharap ia diluluskan kerana perhimpunan ini tidak bermotif politik, tetapi demi kepentingan akidah rakyat Malaysia,

No comments:

Post a Comment