Tuesday, April 3, 2012

Dr. Wan Azizah perlu jawab

Masyarakat juga mahu mengetahui pendirian beliau mengenai kenyataan Nallakaruppan mengenai individu yang mempunyai kecenderungan seks songsang atau biseksual tidak layak memegang jawatan utama dalam negara seperti Perdana Menteri mahu pun sebagai Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR 31 Mac - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail perlu menjawab tuduhan yang dikemukakan oleh beberapa pihak mengenai salah laku moral suaminya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Kebangsaan Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Farahhana Jamaludin berkata, tuduhan itu termasuk hubungan sulit Anwar dengan isteri Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali iaitu Shamsidar Taharin.

Selain itu, Dr. Wan Azizah juga kata Farahhana, perlu mengangkat sumpah bagi menafikan perbuatan suaminya seperti yang didakwa Ahli Dewan Negara, Senator Datuk S. Nallakaruppan baru-baru ini.

"Kita mohon supaya Dr. Wan Azizah tampil memberikan jawapan sama ada menafikan atau sebaliknya terhadap tuduhan-tuduhan yang sering dilemparkan terhadap suaminya.

"Masyarakat juga mahu mengetahui pendirian beliau mengenai kenyataan Nallakaruppan mengenai individu yang mempunyai kecenderungan seks songsang atau biseksual tidak layak memegang jawatan utama dalam negara seperti Perdana Menteri mahu pun sebagai Ketua Pembangkang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Selasa lalu, Nallakaruppan berpegang teguh dengan kenyataannya yang mengatakan Anwar merupakan seorang biseksual dan berani menghadapi tindakan saman daripada Anwar walaupun sehingga RM500 juta.

Tambah Farahhana, sikap berdiam diri Dr. Wan Azizah itu mengundang pelbagai persepsi di kalangan masyarakat yang kini tertanya-tanya kebenaran di sebalik pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Anwar selama ini.

"Dr. Wan Azizah perlu bersikap seperti seorang ketua iaitu bertanggungjawab dan tidak mengabaikan kepentingan pengikutnya.

"Beliau perlu ingat tanpa sokongan para penyokongnya pada hari ini PKR pasti tidak dikenali," katanya.

No comments:

Post a Comment