Masyarakat khususnya ibu bapa tidak boleh bersikap ambil mudah dengan melihat isu LGBT ini sebagai bukan masalah mereka kerana tidak mustahil anak-anak mereka turut terlibat dalam gejala negatif itu secara sembunyi
KUALA LUMPUR 31 Mac - Sebanyak 18 kes perceraian berpunca daripada hubungan songsang telah dilaporkan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sepanjang tahun lalu.
Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, jumlah itu menunjukkan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini berada dalam keadaan yang semakin parah dan membimbangkan.
"Masyarakat khususnya ibu bapa tidak boleh bersikap ambil mudah dengan melihat isu LGBT ini sebagai bukan masalah mereka kerana tidak mustahil anak-anak mereka turut terlibat dalam gejala negatif itu secara sembunyi.
"Golongan biseksual misalnya, ia sangat sukar untuk kita memastikan sama ada individu tersebut terlibat atau tidak dalam hubungan songsang kerana secara fizikalnya mereka kelihatan normal," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen 'Anti Seks Bebas dan LGBT' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Miharja dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengetua SMK Miharja, Amran Mohd. Ihsan dan yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Mohamed Iqbal Yusoffsa.
Kempen itu akan melibatkan sebanyak 30 sekolah di seluruh negara bertujuan menerangkan kepada ibu bapa dan guru-guru mengenai salah laku seks bebas dan hubungan songsang, LGBT yang menyalahi undang-undang negara dan tamadun manusia.
Tambah Azwanddin, pihaknya mendapati kebanyakan golongan biseksual di negara ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kedudukan dan berada dalam bidang profesional.
Katanya, skop mendidik para pelajar di era globalisasi perlu lebih luas kerana mereka bukan saja dikehendaki mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang semata-mata malah ia perlu seiring dengan sikap yang berakhlak dan bermoral tinggi.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment