Tuesday, November 8, 2011

TPM nafi kerajaan buat keputusan sambil lewa dalam PPSMI

"Semua anggota Parlimen termasuk daripada pembangkang menyokong apabila kita laksanakan dasar Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk mengganti PPSMI,”

MUAR 5 Nov. — Timbalan Perdana Menteri menafikan kerajaan membuat keputusan sambil lewa berhubung pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemansuhan dasar itu dilaksanakan oleh kerajaan selepas melakukan kajian terperinci mengenai keberkesanan dasar itu.

"Semua anggota Parlimen termasuk daripada pembangkang menyokong apabila kita laksanakan dasar Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk mengganti PPSMI,” katanya selepas menghadiri majlis korban perdana di Dewan Sri Pekembar di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil daripada kajian kementerian menunjukkan hanya di antara lima hingga tujuh peratus keseluruhan sekolah di bawah kementerian yang menggunakan Bahasa Inggeris ketika melaksanakan PPSMI.

Majoriti daripada sekolah-sekolah yang lain, katanya, menggunakan dwibahasa atau Bahasa Malaysia sepenuhnya di dalam PPSMI sejak dasar itu dilaksanakan pada 2003. — Bernama