Tuesday, November 8, 2011

NGO sokong kekal mansuh PPSMI

"Bagaimanapun, kita berharap agar kerajaan dapat mengkaji semula pelaksanaannya supaya ia dapat dilakukan secara serentak bermula tahun depan tanpa perlu memberi pilihan kepada sekolah dan ibu bapa," 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan pemansuhan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilihat sebagai sangat tepat.



Ketua Dua Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar berkata, semua pihak perlu akur dengan usaha murni kerajaan itu bagi memastikan kejayaan sistem pembelajaran negara.

Sehubungan itu, beliau berharap isu tersebut tidak lagi dieksploitasi atau dijadikan polemik oleh mana-mana pihak, sebaliknya diterima dengan terbuka demi kepentingan masa depan anak bangsa.

"Gapena dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu amat menyokong pemansuhan tersebut dan melihat ia satu keputusan yang tepat.

"Bagaimanapun, kita berharap agar kerajaan dapat mengkaji semula pelaksanaannya supaya ia dapat dilakukan secara serentak bermula tahun depan tanpa perlu memberi pilihan kepada sekolah dan ibu bapa," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemansuhan PPSMI yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Keputusan tersebut sekali gus mengekalkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI pada 2009.

PPSMI kembali mencetuskan polemik apabila Kumpulan Tindakan Ibu-Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa agar diberikan autonomi kepada sekolah untuk memilih PPSMI berdasarkan kajian mereka bahawa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar PPSMI dilaksanakan semula.

Sementara itu Setiausaha Agung, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, semua pihak termasuk parti pembangkang perlu akur dengan keputusan itu dan tidak cuba mengambil kesempatan demi kepentingan politik.

Menurut beliau, ia penting bagi mengelak salah faham serta kekeliruan yang berpanjangan sehingga menjejaskan pembelajaran dan masa depan pelajar terlibat.

Beliau berharap tidak ada pihak yang cuba menjadi 'jaguh' berkaitan isu PPSMI, sebaliknya memberi peluang kepada kementerian menyusun strategi serta kajian demi faedah pelajar.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abdul Rani pula berkata, semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam isu berkenaan kerana ia membabitkan bahasa kebangsaan.

"GPMS Kedah tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris namun bahasa Melayu ini adalah roh rakyat Malaysia dan seharusnya setiap langkah untuk memartabatkan bahasa ini tidak dipertikaikan.

"Kita tahu polemik ini tidak akan berhenti setakat ini namun kita sangat berharap kerajaan akan sentiasa bertegas dalam perkara ini kerana dasar kebangsaan perlu konsisten demi kepentingan semua pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment