Thursday, November 10, 2011

PAGE, JMM harap ada ruang teruskan PPSMI

Penangguhan pemansuhan program PPSMI secara totalnya pada 2021 dilihat dapat memberikan ruang dan masa kepada pihak-pihak tertentu untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai agenda kami demi memartabatkan bangsa Malaysia

PETALING JAYA 9 Nov. - Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi mengenal pasti sekolah-sekolah yang berpotensi dijadikan model cemerlang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
 
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, mereka boleh membantu dalam memberikan input daripada ibu bapa yang mahu memastikan masa depan terbaik untuk anak-anak mereka.

"Penangguhan pemansuhan program PPSMI secara totalnya pada 2021 dilihat dapat memberikan ruang dan masa kepada pihak-pihak tertentu untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai agenda kami demi memartabatkan bangsa Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, PPSMI adalah salah satu infrastruktur pendidikan yang mampu menyiapkan bangsa Malaysia untuk berdepan dengan teknologi masa depan.

"Bagi membentuk generasi akan datang, keperluan penguasaan ilmu khusus dalam bidang teknologi adalah sangat penting.

"Dengan peredaran masa yang tidak menunggu sesiapa, PPSMI dilihat mampu mempercepatkan proses pencapaian ilmu setanding dengan negara-negara lain," katanya.

No comments:

Post a Comment