Tuesday, November 8, 2011

DAP mahu kurangkan penguasaan Melayu

Azwandin Hamzah tidak terkejut dengan hasrat DAP itu kerana percaya memang wujud gerakan halus seperti berlaku Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yakin hasrat DAP mahu mengurangkan jumlah kakitangan awam bukan disebabkan faktor ekonomi semata-mata.



Sebaliknya tegas Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, ia merupakan agenda politik untuk mengurangkan pengaruh orang Melayu dalam sektor kerajaan.

"DAP ada niat tersirat di sebalik hasrat mereka itu. Kita kenal siapa DAP dan dakwaan bahawa ia demi kepentingan ekonomi hanyalah sandiwara semata-mata," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua yang disiarkan akhbar berbahasa Cina pada 1 November lalu bahawa kerajaan DAP akan mengurangkan kakitangan kerajaan dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Sementara itu, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, hasrat DAP itu merupakan ugutan terhadap kakitangan awam.

"Ini merupakan satu bentuk politik ugutan terhadap kakitangan awam. Justeru, saya menyeru semua penjawat awam supaya menolak kumpulan politikus berkenaan yang semakin mabuk mahu mendapatkan kuasa," jelasnya.

Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah tidak terkejut dengan hasrat DAP itu kerana percaya memang wujud gerakan halus seperti berlaku Pulau Pinang.

"Saya pasti ini strategi DAP untuk memastikan mereka terus berkuasa serta membentuk legasi pemerintahan khususnya di Pulau Pinang," jelasnya.

l DAP ambil langkah ke belakang ingin kurangkan penjawat awam - CUEPACS - muka 15