Monday, November 28, 2011

Seksualiti Merdeka: Tentangan akan diteruskan. ANTI LGBT SEKS BEBAS 2.0 pd 29hb Nov 10:00 pagi

Kita juga memberi amaran kepada pihak terbabit supaya menghentikan terus semua usaha untuk memperjuangkan hak asasi yang tidak berasas ini

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Program mempromosikan seks bebas Seksualiti Merdeka 2011 yang memperjuangkan kebebasan dan amalan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini akan terus ditentang sehingga ia berkubur.


Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihaknya akan meneruskan siri perhimpunan bantahan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya budaya seks songsang.

"Kita akan terus menentang budaya yang jelas bertentangan dengan agama dan peradaban manusia ini daripada terus mengancam sistem kekeluargaan masyarakat di negara ini.

"Kita juga memberi amaran kepada pihak terbabit supaya menghentikan terus semua usaha untuk memperjuangkan hak asasi yang tidak berasas ini," katanya kepada pemberita pada perhimpunan Lindungi Anak-Anak Kami Daripada LGBT di depan Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Ampang, di sini, hari ini.

Perhimpunan pertama anjuran JMM itu disertai oleh kira-kira 100 orang termasuk ketua dan wakil masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil pertubuhan Tiong Hua dan Hindu Ampang.

Selain membawa sepanduk menyatakan bantahan, mereka turut melaungkan kemarahan terhadap bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga yang memperjuangkan hak dan kebebasan golongan LGBT di negara ini.

Azwanddin berkata, sebagai permulaan, perhimpunan setiap tiga hari sekali itu akan diperluas ke seluruh Selangor dalam usaha mengumpul penyertaan 100,000 orang sebagai suara bantahan besar-besaran.

"Gerak kerja sudah bermula dan kita mahu kumpul sehingga 100,000 orang melalui perhimpunan ini. Di Selangor ia akan digerakkan di peringkat daerah dan Parlimen.

"Pada hari Sabtu ini, perhimpunan akan diadakan di Putrajaya. Perhimpunan kita akan diadakan di depan sekolah sebagai simbolik kesedaran kepada generasi muda negara ini," katanya.

Beliau berkata, usaha membantah program Seksualiti Merdeka perlu diteruskan bagi memastikan usaha pihak-pihak yang ingin mempromosi amalan seks songsang secara terbuka dan tanpa rasa malu itu dapat dihentikan.

"Seksualiti Merdeka ini secara jelas, teratur dan terancang mempromosi budaya yang tidak harus diamalkan di sebuah negara Islam dan berperlembagaan," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk turut serta dan menyuarakan bantahan.

"Bantahan ini tidak semestinya dipikul oleh golongan ulama tetapi turut memerlukan kerjasama daripada seluruh lapisan masyarakat, khususnya untuk memupuk kesedaran umum," katanya.

No comments:

Post a Comment