Monday, November 28, 2011

Ibu bapa perlu peka kelakuan anak-anak - JMM

Justeru, JMM akan turut bekerjasama dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk menentang perkara tersebut daripada terus berlaku di negara ini

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Ibu bapa perlu lebih peka memerhati tingkah laku anak-anak supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan akidah.


Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak anak-anak juga harus dititikberatkan memandangkan program mempromosi seks bebas melalui Seksualiti Merdeka 2011 masih rancak dilakukan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

"Sebagai orang yang paling dekat dengan anak-anak, khususnya remaja, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan budaya bebas serta amalan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang jelas bertentangan dengan agama serta peradaban manusia.

"Justeru, JMM akan turut bekerjasama dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk menentang perkara tersebut daripada terus berlaku di negara ini," katanya kepada pemberita pada perhimpunan Lindungi Anak-Anak Kami Daripada LGBT di pekarangan Masjid Universiti Putra Malaysia, dekat sini, hari ini.

Perhimpunan kedua anjuran JMM itu turut disertai oleh kira-kira 100 orang yang sebelum itu hadir menunaikan solat Jumaat.

Sejak perhimpunan pertama yang diadakan pada Rabu lepas, Azwanddin berkata, JMM menerima maklum balas positif daripada kira-kira 20,000 orang yang menyokong gerakan dilakukan pihaknya.

Beliau berkata, perhimpunan seperti ini akan diperluas ke seluruh Selangor dalam usaha mengumpul penyertaan 100,000 orang sebagai suara bantahan besar-besaran.

Sumber: Utusan Malaysia