Friday, September 30, 2011

Kuasa autonomi pilih PPSMI tidak wajar

cadangan PAGE dan JMM itu akan menimbulkan konflik dan ketegangan sosial

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada desakan Kumpulan Tindakan Ibu-Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) agar mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara pilihan di sekolah meskipun dimansuhkan sejak akhir 2009 yang lalu.

Gesaan PAGE dan JMM agar diberikan ‘autonomi’ kepada sekolah untuk memilih PPSMI ialah berdasarkan kajian mereka yang mendakwa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar PPSMI dilaksanakan semula. Walaupun menghargai keprihatinan dan komitmen ditunjukkan PAGE dan JMM dalam usaha mereka mengendalikan kajian berkenaan, akan tetapi ABIM mendapati terdapat keraguan pada cara pelaksanaan dan hasil dapatan kajian itu yang boleh dipertikaikan kesahihan dan kebolehpercayaannya. Dalam hal ini, ABIM menyambut baik ketegasan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi yang menolak kajian dikemukakan oleh JMM atas faktor yang sama. Selain itu, hujah PAGE untuk menyokong cadangan mereka pada kali ini adalah ulangan kepada hujah mereka sebelum ini yang dibahaskan dalam siri persidangan meja bulat yang lalu dan dimuktamadkan Timbalan Perdana Menteri dengan pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada 25 November 2009.

Perkara seperti kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris, kecemerlangan subjek Sains dan Matematik, diskriminasi kepada golongan yang ‘beribundakan’ Bahasa Inggeris dan ketidakkesanan kepada Perkara 152, Akta Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara dibidas dalam buku Mengapa Kami Bantah serta diambil pertimbangan sewajarnya dalam mempersiapkan dasar MBMMBI.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM berpandangan cadangan pemberian kuasa autonomi memilih dasar kepada sekolah adalah kecelaruan terbesar dalam sistem pendidikan negara. Tidak ada autonomi bagi perkara dasar melainkan hanya dalam soal pentadbiran dan pengurusan sekolah seperti yang diamalkan di Sekolah Kluster.

Komuniti sekolah hanya sebagai pelaksana dan bersama memberi sumbang saran dalam penggubalan sesuatu dasar tetapi tidak untuk memilihnya bagi kecenderungan tertentu. Hal ini mencabar kredibiliti kerajaan khususnya Menteri Pelajaran dalam menentukan masa depan negara kerana ia tercorak dari dasar yang diperkenalkannya.

Di samping itu, cadangan PAGE dan JMM itu akan menimbulkan konflik dan ketegangan sosial serta kesenjangan di kalangan rakyat apabila dua arus perdana ini bertembung dalam masyarakat. Ini akan menggagalkan usaha penyatupaduan rakyat seperti mana yang terkandung dalam matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Cadangan berkenaan juga dilihat tidak munasabah kerana akan menimbulkan kesulitan pada peringkat pelaksanaan, penilaian dan pemantauannya. Ia akan menimbulkan masalah dalam proses latihan dan penempatan guru, penyediaan bahan mengajar, penerbitan dan pengagihan buku teks, penggubalan dan pencetakan kertas soalan, dan yang lebih utama penilaian berpusat bagi pelajar yang menduduki peperiksaan awam.

Oleh itu, ABIM menyeru agar Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran tegas menolak kajian dan cadangan yang dikemukakan oleh PAGE dan JMM berdasarkan hujah yang dikemukakan.

ABIM juga berharap agar kerajaan memberikan fokus kepada pelaksanaan dasar MBMMBI seperti mana yang diputuskan sebelum ini. ABIM percaya polemik ini tidak akan timbul sekiranya proses penggubalan dan pelaksanaan sesuatu dasar baru menuruti semua peringkat tapisan yang ditetapkan oleh pihak KPM tanpa sebarang kompromi
 

No comments:

Post a Comment