Tuesday, September 27, 2011

Agenda jahat pakatan pembangkang

Ia merupakan kenyataan hilang akal. Pembangkang seolah-olah tidak menghargai pengorbanan datuk, nenek kita dahulu sehingga mahu mengubah Jalur Gemilang yang merupakan kebanggaan rakyat dan negara
KUALA LUMPUR 20 Sept. - Kenyataan wakil rakyat DAP, M. Manoharan yang mahu menukar Jalur Gemilang sekiranya berkuasa memerintah membuktikan pakatan pembangkang mempunyai agenda jahat untuk menimbulkan suasana huru-hara.

Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah itu juga menggambarkan sikap tidak patriotik di kalangan pemimpin pembangkang.

"Ia merupakan kenyataan hilang akal. Pembangkang seolah-olah tidak menghargai pengorbanan datuk, nenek kita dahulu sehingga mahu mengubah Jalur Gemilang yang merupakan kebanggaan rakyat dan negara.

"Niat jahat serta agenda pembangkang semakin hari semakin terdedah. Kini terserah kepada rakyat untuk menilai sendiri tindakan pihak pembangkang selama ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan biadab Manoharan yang mahu menukar Jalur Gemilang sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya akan datang dalam laman sosialnya.

Pemerhati politik tempatan, Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan pula berpendapat, tindakan pihak pembangkang mahu menukar Jalur Gemilang sekiranya mendapat kuasa untuk memerintah adalah sangat tidak wajar dan isu berkenaan tidak sepatutnya timbul.

"Tindakan tersebut juga telah mengukuhkan bukti wujudnya perbezaan pendirian di kalangan pembangkang apabila ada pemimpin parti komponennya menolak idea berkenaan," jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Chai Kim Sen mencabar DAP memecat Manoharan kerana kenyataannya boleh dianggap sebagai menghina negara.

Katanya, beberapa ahli DAP pernah dipecat sebelum ini kerana mengkritik pemimpin parti dan adalah sesuatu yang mengejutkan jika tidak ada tindakan diambil terhadap Manoharan yang telah menghina Jalur Gemilang.

"Ahli yang mengkritik pemimpin parti (DAP) dipecat tetapi ahli yang menghina negara masih tidak diambil tindakan. Adakah pemimpin DAP lebih penting daripada bendera kebangsaan?" ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

1 comment:

  1. Salam,
    Yang hendak dibuang dari Jalur Gemilang adalah bulan sabit, jangan tak paham...
    Lepas tu jata negara, apa nak di buang?
    Lepas tu perlembagaan negara, apa nak di buang?
    Lepas tu,...kemana kita?

    ReplyDelete