Tuesday, September 27, 2011

ISA dimansuh demi rakyat, bukan atas desakan pembangkang

"Ia membuktikan keikhlasannya. Beliau melakukannya (memansuhkan akta) demi rakyat dan bukannya untuk pembangkang,"

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 adalah demi kepentingan rakyat serta negara dan bukannya atas desakan pihak pembangkang.

Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah berkata, pihak pembangkang tidak seharusnya mengambil kesempatan di atas pengumuman tersebut dengan memberi 'kredit' kepada diri sendiri semata-mata pernah menuntut pemansuhan akta berkenaan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkuasa untuk mengekalkan akta tersebut dan melindungi kedudukannya tetapi tidak berbuat demikian kerana lebih mementingkan rakyat.

"Jika Perdana Menteri mahu mengekalkan akta tersebut, beliau boleh melakukannya. Kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan lebih selamat tetapi beliau tidak melakukannya kerana pernah berjanji untuk mengkaji rasionalnya akta tersebut pada zaman ini.

"Akhirnya beliau mengambil keputusan memansuhkannya sebagai sebahagian daripada proses transformasi negara seperti yang dijanjikan semasa dilantik menjadi pemimpin negara dua tahun lalu.

"Ia membuktikan keikhlasannya. Beliau melakukannya (memansuhkan akta) demi rakyat dan bukannya untuk pembangkang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib supaya tiada pihak cuba meraih keuntungan politik daripada pengumuman mengenai pemansuhan ISA dan Ordinan Darurat 1969 yang dibuatnya pada 15 September lalu.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula menyifatkan bahawa pihak pembangkang telah mati langkah untuk mempersoalkan isu keselamatan negara apabila ISA dan Ordinan Darurat dimansuhkan.

"Pembangkang sebenarnya telah check mate dalam isu keselamatan negara ini. Tiada sebab untuk mereka mendakwa keputusan tersebut adalah atas desakan mereka.

"Pada ketika ini mereka (pembangkang) sewajarnya memikirkan cara untuk memecat Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai Ketua Pembangkang apabila pendedahan mengenai skandal video seks yang dikaitkan dengannya telah memasuki fasa kedua," jelasnya.

Sementara itu, menurut Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim, pembangkang tidak boleh menyatakan pemansuhan kedua-dua akta tersebut sebagai perjuangan mereka kerana ia merupakan komitmen dan iltizam Perdana Menteri.

"Pemansuhan itu juga membuktikan sikap keterbukaan Perdana Menteri untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa," ujarnya

Sumber: Utusan Malaysia