''Di mana pemimpin Pas yang dipanggil ulama dan apakah pendirian mereka mengenai isu moral Anwar ini?
KUALA LUMPUR 25 Jun - Pemimpin Pas dicabar mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melepaskan jawatan Ketua Pembangkang selepas rakaman video seks yang menyerupai pemimpin pembangkang itu disahkan tulen oleh pakar.
Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, Pas perlu lebih tegas dengan menolak Anwar dan memilih wakil yang lebih bermoral serta tidak mengambil pendekatan berdiam diri.
Katanya, Pas sebelum ini menolak 'bertuankan' pemimpin yang tidak bermoral namun parti itu tidak mengambil tindakan serupa terhadap Anwar.
''Di mana pemimpin Pas yang dipanggil ulama dan apakah pendirian mereka mengenai isu moral Anwar ini?
''Apa yang pasti Anwar akan terus menafikan pelaku dalam video seks itu adalah dia dan mengaitkan penyebaran video itu merupakan permainan UMNO," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Fakta kes yang dibacakan di Mahkamah Majistret di sini, semalam menyebut dua pakar dari Dartmouth College, Handover, New Hampshire, Amerika Syarikat, Profesor Hany Farid dan Profesor Lorenzo Torresani mengesahkan bahawa rakaman video yang ditayangkan di Hotel Carcosa Seri Negara Mac lalu adalah tulen.
Azwanddin dalam pada itu berkata, Anwar sebagai individu yang dikaitkan sebagai pelaku dalam video berkenaan seharusnya berasa malu dan mengambil tindakan meletak semua jawatan yang disandangnya.
Katanya, rakyat kini tahu dan mula sedar bahawa Anwar sentiasa cuba mengelak dan melakukan pembohongan bagi mengelirukan pemikiran rakyat.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlu melakukan empat perkara yang didesak bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor.
Empat perkara itu katanya, melakukan sumpah laknat menafikan Anwar bukan lelaki dalam video seks; menjalani ujian poligraf bagi membukti mereka tidak berbohong; menyaman Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan menuduh Shazryl Eskay sebagai pembohong.
''Anwar juga tidak perlu 'berselindung' di sebalik tuduhan qazaf sebaliknya perlu menjelaskan bahawa negara ini sebenarnya mengamalkan hukum takzir dan bukannya hukum hudud," katanya.
Anuar berkata, beliau juga percaya Anwar akan menjadikan hukuman terhadap trio 'Datuk T' sebagai kempen ceramah.
''Itu sama sekali tidak logik kerana apa yang pasti Anwar hanya mahu mengelirukan masyarakat dengan 'lari' daripada cabaran Ezam itu," katanya.
No comments:
Post a Comment