KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO dan badan bukan kerajaan menyifatkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelarkan Datuk Seri Najib Razak sebagai 'pandikutti' dalam bahasa Tamil bermaksud anak babi sebagai tindakan tidak bertamadun dan menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang tidak cukup matang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mungkin merasakan bahawa dia cukup sempurna kerana sanggup melemparkan kata-kata kesat terhadap Perdana Menteri.
"Saya pun hairan kenapa digunakan perkataan yang sedemikian rupa.. kalau kita boleh panggil apa nak panggil (kepada seseorang) kita kena tengok diri kita ini dulu baik atau tidak baik.
"Yang jadi masalahnya, dia (Anwar) tak pernah tengok diri dia dalam cermin... dia tak sedar yang dia sebenarnya 'pandikutti' bukan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sebuah portal berita Ahad lalu melaporkan Anwar ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 masyarakat India pada perhimpunan Malaysian Indian Voice (MI-V) di Dewan Hamzah, Klang Sabtu lalu menggelarkan Najib sebagai `pandikutti'.
Tengku Adnan berkata, kenyataan atau cercaan yang keluar dari mulut Anwar bukan perkara baru kerana sebelum ini beliau juga dilaporkan sering menuding jari menyalahkan orang lain dan menganggap dia langsung tidak pernah melakukan kesalahan.
"Saya harap dia akan lebih bertamadun dan berharap perkataan seperti itu tidak patut lagi digunakan kerana kami lebih mengenali siapa Anwar," katanya.
Ditanya sama ada Anwar perlu memohon maaf atas kenyataannya itu, Tengku Adnan berkata, tidak ada gunanya meminta orang yang mengeluarkan kenyataan seperti itu meminta maaf, apa yang penting Anwar perlu bertindak seperti orang matang bukan bersifat keanak-anakan.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan mendesak Anwar menarik balik cercaan terhadap PM yang disifatkan sebagai biadap dan kurang ajar.
"Cercaan Anwar yang melabel Perdana Menteri sebagai `pandikutti' sebagaimana yang dilapor Free Malaysia Today pada 8 Mei lalu, adalah suatu tindakan biadab dan sangat kurang ajar
"Ia menampakkan kejelekan serta kedudukan beliau yang kini amat terperosok dan tertekan dengan permasalahan peribadi serta perbalahan yang meledak sesama anggota pembangkang," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, berkata kenapa Anwar perlu menjelajah seluruh negara dan memaki hamun Perdana Menteri berhubung isu rakaman video seks yang didakwa mirip ketua pembangkang itu.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment