Menyedihkan bagi bangsa yang dihentam penulis dan pembaca Malaysian Insider apabila ramai pemimpin Melayu yang kononnya liberal menjadi 'buah catur' dan diperalatkan untuk menjayakan agenda pihak luar bagi memastikan penduduk asal, Melayu dan bumiputera tidak bersatu
PORTAL berita The Malaysian Insider memang terkenal dengan artikel biadab yang cuba membangkitkan isu perkauman terutamanya bersifat anti-Melayu dan kerajaan.
PORTAL berita The Malaysian Insider memang terkenal dengan artikel biadab yang cuba membangkitkan isu perkauman terutamanya bersifat anti-Melayu dan kerajaan.
Selain itu, portal ini juga pernah memainkan isu sensitif secara terbuka melibatkan agama Islam, kedudukan Sultan dan Raja Melayu, bahasa Melayu, Islam dan banyak isu lain yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan yang mendesak diubah atau dipinda.
Gaya penulisannya juga pandai bermain dengan terjemahan dan prosedur untuk melepaskan tengkuk penulis dan pengurusan Malaysian Insider.
Lebih biadab apabila mereka memulakan isu sensitif dan membuka ruang untuk komen puak pelampau di negara ini untuk paparan umum, tanpa penapisan demi menjaga sensitiviti kaum dan agama lain.
Jelas sekali komen 'pembaca setia' portal itu dibuat secara semborono tanpa mengemukakan bukti dan sokongan kukuh untuk pendapat dan dakwaan mereka, jelas sekali mengikut haloba emosi semata-mata.
Menyedihkan bagi bangsa yang dihentam penulis dan pembaca Malaysian Insider apabila ramai pemimpin Melayu yang kononnya liberal menjadi 'buah catur' dan diperalatkan untuk menjayakan agenda pihak luar bagi memastikan penduduk asal, Melayu dan bumiputera tidak bersatu.
Persoalannya di sini, bukankah apa yang dilakukan warga portal itu bersifat subversif dan mengancam keselamatan negara kerana berterusan mempersoalkan kontrak sosial dan menanam kebencian dan prasangka buruk di kalangan masyarakat majmuk kita?
Oktober lalu kecoh satu negara apabila Jaringan Melayu Malaysia (JMM) memberikan keterangan dan bukti berhubung kes hasutan melibatkan Malaysian Insider.
Ketika itu, isu mula timbul berikutan desakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim supaya Ketua Pegawai Eksekutif portal tersebut, Jahabar Sadiq menjelaskan hubungannya dengan pemimpin Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) bagi memastikan tiada unsur pengkhianatan dilakukan ke atas Malaysia.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari juga pernah membangkitkan siapa sebenarnya yang menaja Malaysian Insider dan portal berita propembangkang lain memandangkan 'orang kuat' di Malaysian Insider sendiri mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan pihak luar.
Kekerapan sebuah negara asing menjadikan laporan Malaysian Insider portal propembangkang sebagai rujukan untuk memburukkan negara juga membangkitkan seribu satu persoalan sedangkan kita sudah mempunyai agensi berita rasmi iaitu Bernama.
Selepas membuat laporan polis terhadap portal tersebut sekitar pertengahan 2010, Anuar juga masih menunggu bentuk tindakan yang bakal diambil pihak berwajib terhadap agenda portal tersebut yang didakwanya secara terang-terangan mahu memecahbelahkan rakyat.
Kebimbangan sama dikongsi perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 yang kesal dengan tindakan portal berita propembangkang yang memutarbelitkan isu yang dibangkitkan pada sesi perbahasan dengan niat untuk menjatuhkan imej parti dan negara.
Jika diselidik lebih jauh ke belakang, begitu banyak aduan, laporan dan pandangan umum yang nyata kecewa dengan cara operasi portal propembangkang dan mereka berharap ada pihak yang berkuasa untuk memantau dan bertindak terhadap kebiadapan yang timbul.
Ketika komunis mengancam keselamatan negara dahulu, tentera dan orang Melayu bangkit menentang, begitu juga terhadap kumpulan ajaran sesat, pelampau politik dan kaum, semua diperangi habis-habisan.
Itu ancaman berbentuk fizikal, bagaimana pula ancaman secara halus melalui media baru seperti portal yang kononnya melaporkan berita dan fakta tetapi sebaliknya banyak melontar tuduhan dan hasutan?
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikatakan 'tentera' yang memegang kuasa memerangi 'komunis' di Internet tetapi hakikatnya rakyat masih menunggu bila dan bagaimana mereka akan bertindak.
Amat memalukan bila teguran rakyat tidak diendah, sehinggakan kerajaan ditegur kerana membiarkan unsur negatif membanjiri Internet dan media propembangkang di negara ini.
Perkataan 'gagal' mungkin merupakan definisi paling tepat dalam menilai tindakan terhadap portal itu yang rata-rata rakyat sudah muak dengan provokasi dan agenda membenci kerajaan oleh portal berita tersebut.
Masalahnya, aduan, laporan polis dan teguran semuanya sudah hampir setahun berlalu tetapi nampaknya SKMM masih 'kaku' dalam menghadapi kemarahan rakyat terhadap Malaysian Insider.
Situasi ini sebenarnya telah berulang kali berlaku dan tidak mengejutkan lagi kerana umum sudah malas untuk menegur jika asyik diulang pihak bertanggungjawab 'akan siasat', 'diberi amaran keras' tapi akhirnya tetap tiada tindakan tegas diambil sehinggakan pihak terbabit berani berkali-kali mengulang perbuatan sama.
Sudah basi alasan 'akan siasat', akan mula kedengaran 'kurang pakar' untuk mengumpul bukti untuk pendakwaan di mahkamah.
Adakah tindakan mahkamah sahaja yang boleh diambil? Di mana pegawai yang sepatutnya memantau dan mengambil tindakan segera menyekat bahan bersifat subversif?
No comments:
Post a Comment