KUALA LUMPUR: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) memberi amaran kepada masyarakat bukan Islam supaya tidak cuba bermain api demi kepentingan politik mereka.
Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah, berkata semua kaum perlu menghormati agama masing-masing dan tidak mengeluarkan kenyataan sensitif sehingga menyinggung kaum lain.
Beliau berkata, masyarakat bukan Islam tidak perlu mencampuri urusan mengenai agama Islam atau cuba memberi pandangan berkaitan sumpah laknat kerana ia menimbulkan suasana keruh antara agama di negara ini.
"Bersumpah laknat adalah untuk umat Islam membuktikan kebenaran atau mempertahankan diri dari dituduh atau sebaliknya. Jadi, mereka yang bukan Islam tidak perlulah mencampurinya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya mengingatkan masyarakat bukan Islam terutama ahli politik supaya tidak mencampuri urusan agama Islam dengan menimbulkan perkara yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
Ia berikutan, berita yang disiarkan dalam satu laman portal milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai kenyataan Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu mendakwa walaupun bukan Islam, beliau mengetahui sumpah laknat yang dilafazkan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul, Jumaat lalu adalah salah.
Tian Chua turut menuduh sumpah laknat yang dilakukan Shazryl Eskay bersama dua lagi trio Datuk T iaitu Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim sebagai mempermainkan agama Islam.
Sehubungan itu, Azwanddin meminta mana-mana pihak bukan Islam supaya tidak mempolitikkan perkara itu kerana ia membabitkan urusan peribadi antara Shazryl Eskay dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggugat keharmonian kaum di negara ini.
Beliau berkata, antara perkara yang menimbulkan suasana tegang di negara ini apabila sudah ada kaum dan agama lain mula mengkritik agama lain kerana kepentingan politik yang tidak jujur.
"Mana-mana pihak yang bukan beragama Islam diingatkan sekali lagi supaya tidak mencampuri urusan agama Islam dan jangan cuba bermain api kerana buruk padahnya," katanya.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment