Sunday, May 22, 2011

JMM jangan beraja di mata, bersultan di hati

PUTRAJAYA 19 Mei - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) perlu memaklumkan bentuk kesalahan atau perbuatan portal berita, The Malaysian Insider yang didakwa tidak disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, jika dibutirkan aduan yang berkaitan, SKMM boleh diarah menyiasat sekiranya perbuatan portal berita itu melanggar undang-undang negara.




Beliau menegaskan, sebarang tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia melibatkan proses undang-undang yang bersifat teliti dan pelbagai pihak meliputi SKMM, polis, syarikat pemberi khidmat (service provider) dan Jabatan Peguam Negara.

SKMM misalnya, kata beliau, harus fokus kepada kes yang spesifik melibatkan jenayah yang tersenarai seperti hasutan, kejelikan, pornografi, penipuan dan penyalahgunaan rangkaian.

"Dalam hal ini, perbuatan apa yang SKMM dianggap sebagai lesu atau tidak bertaring.

"(JMM) kena beritahu kesalahan atau perbuatan apa yang didakwa tidak disiasat SKMM.

 Badan itu mesti mengikut lunas perundangan, tak boleh beraja di mata bersultan di hati sahaja.

"Sama ada (The Malaysian Insider) akan didakwa di mahkamah, ia terserah kepada Peguam Negara," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, JMM mendakwa SKMM kini sudah tidak mempunyai sebarang peranan dan seolah-olah sudah kehilangan taring.

Menurut Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah, dakwaan tersebut berasas kerana SKMM gagal mengambil sebarang tindakan ke atas The Malaysian Insider berdasarkan beberapa laporan yang dibuat JMM sebelum ini.

Kata beliau, laporan JMM ada asasnya dan pihaknya mempunyai bukti kukuh yang portal berita tersebut memang terkenal dengan artikel biadab yang cuba membangkitkan isu perkauman terutama bersifat anti-Melayu dan kerajaan.

No comments:

Post a Comment