Saturday, January 8, 2011

Tolak pemimpin Hina Institusi Raja

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera untuk menyiasat terhadap lapuran-lapuran polis yang dibuat oleh beberapa pihak terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda Suhaimi Shafie di atas kenyataan biadap beliau yang didakwa menghina Institusi Raja di Negara ini.


Sebagai pemimpin beliau seharusnya menghormati institusi raja kerana asas pentadbiran Negara ini mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan. Ini adalah penting kerana sebagai ADUN beliau harus menjadi contoh yang baik menghormati perlembagaan Negara dan bukannya mengeluarkan kenyataan provokasi dengan niat-niat yang tertentu bagi mencapai tujuan politik.

JMM tidak bersetuju mana-mana pemimpin atau mana-mana pihak mengheret Institusi Raja ke dalam perbalahan kancah politik terutamanya mengheret rakyat untuk menghina Raja-Raja Melayu seperti yang dilakukan oleh Suhaimi Shafie.

Sebagai pemimpin yang memahami Perlembagaan dan Undang-undang, beliau juga sedar dan memahami bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah telah melakukan tindakan mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang di dalam memperkenankan perlantikkan Setiausaha Kerjaan Negeri Selangor yang baru.

Institusi Raja tidak boleh diheret atau dijadikan modal politik bagi mencapai apa jua sebarang kepentingan kepada parti-parti politik. Semua pihak seharusnya menghormati peranan Institusi Raja sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan.

JMM menasihati rakyat Malaysia menolak mana-mana pemimpin yang menghina Institusi Raja kerana ini bukti mereka tidak memahami Perlembagaan.

Yang Benar,
“Jujur & Amanah Satu Perjuangan”

Tengku Amalluddin Sani Bin Raja Ahmad Sufian
Setiausaha Kebangsaan

No comments:

Post a Comment