Saturday, January 8, 2011

Sultan bidas ada Melayu persoal Institusi Raja-Raja Melayu

SHAH ALAM, 29 Nov – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, melahirkan rasa dukacita dengan segelintir orang, termasuk orang Melayu yang berhijrah ke negara ini, kerana mempersoalkan institusi Raja-Raja Melayu dan keperluannya dalam sistem pemerintahan sekarang.


“Matlamat mereka agar sistem Raja Berpelembagaan disemak dan dikaji semula atas alasan negara telah menjalani arus pemodenan… adalah amat tidak tepat,” titah baginda ketika merasmikan Wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di Shah Alam.

“Ada suara yang lantang daripada orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ yang ada pada ungkapan ‘Raja-raja Melayu’ hendaklah dihapuskan,” titah Baginda.

Malah baginda juga menyifatkan golongan itu sebagai tidak memiliki rasa megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan bangsa sendiri.

“Beta percaya perbuatan itu adalah untuk kepentingan mereka sendiri atau kepentingan politik mereka,” titah Sultan Sharafuddin .

Baginda berasa sedih dengan generasi sekarang yang malu untuk mengakui diri sebagai orang Melayu.

“Bukanlah tujuan Beta untuk menyalakan api perkauman tetapi ingin menyatakan bahawa kita mesti berbangga dengan Selangor yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum.

“Keamanan yang dicapai di antara rakyat yang berbilang kaum di Selangor ini dapat kita banggakan kepada dunia luar,’ tambah Sultan Sharafuddin.

Baginda turut menyeru rakyat Selangor supaya memahami sejarah negeri itu supaya tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.

“Kepada rakyat Melayu, Beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu sahaja kerana negeri ini adalah tanah tempat tumpah darah kita,” jelas Baginda.

Dalam titahnya itu, Sultan Sharafuddin menyingkap peranan luas dan penting insitusi Raja-Raja Melayu dalam pentadbiran negara.

“Institusi Raja-Raja Melayu merupakan benteng terakhir terhadap mengawal dan membanteras anasir-anasir yang ingin memecahbelahkan perpaduan dan keutuhan kerajaan. (jika) timbul pergolakan politik di negara ini.

“Institusi Raja Melayu akan tetap berdiri utuh sebagai satu badan bebas neutral yang boleh menyata padukan rakyat agar tidak terus berpecah belah,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin melahirkan rasa bangga dan sukacita dengan langkah kerajaan Malaysia yang akan menjadikan subjek sejarah sebagai syarat wajib untuk dipelajari oleh rakyat di sekolah negara ini.

“Beta percaya dengan arahan ini ia akan membuka minda dan kefahaman dari pengetahuan berhubung peranan penting yang berlaku dalam sejarah tanah air untuk tidak timbulnya syak wasangka dan persoalan yang mencurigakan hingga timbul salah faham terhadap sesama rakyat di negara yang kita kasihi ini,” titah baginda.

No comments:

Post a Comment