Sunday, June 13, 2010

Musa didesak berhenti lindungi lembaga pengarah Sime Darby

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pengerusi Sime Darby Berhad, Tun Musa Hitam didesak supaya berhenti menggunakan pengaruhnya bagi melindungi ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan daripada memberi penjelasan berhubung kerugian yang ditanggung oleh konglomerat tersebut.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir mendakwa, tindakan membisu oleh semua ahli lembaga pengarah berhubung kerugian yang dialami Sime Darby, adalah kerana mereka berasa selesa dengan jaminan perlindungan daripada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

"Beliau (Musa Hitam) tidak boleh berterusan melindungi ahli lembaga pengarah. Sepatutnya selaku pengerusi, beliau kena mendesak semua ahli lembaga pengarah Sime Darby memberi penjelasan berhubung kerugian yang ditanggung oleh syarikat milik kerajaan (GLC) ini.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku kerana ini melibatkan duit rakyat dan Sime Darby bukan syarikat milik individu. Sebagai ahli lembaga pengarah sudah tentu mereka tahu setiap pelaburan yang dibuat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan semua ahli lembaga pengarah Sime Darby yang sehingga kini tidak memberi sebarang penjelasan mengenai pihak manakah sebenarnya yang bertanggungjawab menyebabkan syarikat berkenaan rugi besar.
Sebelum ini, banyak pihak mendesak agar semua ahli lembaga pengarah termasuk Musa Hitam melepaskan jawatan masing-masing kerana percaya bukan hanya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) seorang sahaja yang bertanggungjawab di atas kerugian tersebut.

Kepada soalan sama ada beliau akan bekerjasama dengan beberapa ahli parlimen untuk mengemukakan usul di Dewan Rakyat bagi memaksa semua ahli lembaga pengarah Sime Darby memberi penjelasan, Musa memberitahu ia akan dipertimbangkan.

"Jika mereka masih selesa berdiam diri, tiada integriti serta keberanian untuk meletakkan jawatan, kita akan menimbangkan semua kemungkinan termasuk mengemukakan perkara ini sebagai usul di Dewan Rakyat," jelasnya.

Pada 13 Mei lalu, Sime Darby mengumumkan kerugian lebih RM1.63 bilion berikutan berlakunya lebihan kos dalam beberapa projek di bawah Bahagian Tenaga serta Utilitinya dan serentak dengan itu CEOnya, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid diarahkan bercuti sehingga kontraknya tamat.

Berikutan lebihan kos itu juga, Sime Darby bakal mengalami kerugian RM964 juta bagi separuh kedua tahun kewangan 2010 bagi projek hidroelektrik Bakun (RM450 juta), Maersk Oil Qatar (RM159 juta) dan pembinaan kapal bagi projek Maersk Oil Qatar (RM155 juta).

Antara yang menjadi ahli lembaga pengarah ialah Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Dr. Ariffin Mohamad Siregar, Tan Sri Samsuddin Osman, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali. Turut menganggotai lembaga tersebut ialah Datuk Seri Panglima Sheng Len Tao, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Datuk Henry Sackville Barlow, Datuk Seri Mohamed Sulaiman, Datuk Dr. Abdul Halim Ismail dan Datin Paduka Zaitoon Othman.

-source Utusan Malaysia 12/06/2010