Wednesday, May 12, 2010

Pakku bantah jual 33% saham kerajaan dalam Pos Malaysia

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO (Pakku) menentang keras sebarang penjualan saham kerajaan dalam Pos Malaysia Berhad berjumlah 33 peratus kepada pihak lain berikutan kerugian yang dialami oleh syarikat milik kerajaan (GLC) itu.

Presiden Pakku, Tan Sri Adam Kadir berkata, rancangan untuk menjual saham itu tidak sepatutnya timbul kerana Pos Malaysia sebelum ini merupakan sebuah syarikat yang kukuh, tetapi disebabkan campur tangan Khazanah Nasional (Khazanah), GLC tersebut mengalami kerugian,

Sehubungan itu beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar bertanggungjawab terhadap perkara yang berlaku itu.
''Pakku juga sedia menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggesa kerajaan mengkaji semula rancangan penjualan itu selain meminta beliau mengkaji semula kedudukan tertinggi pengurusan Khazanah.

''Untuk pengetahuan, selain rugi sebanyak RM546 juta kerana gagal menjual 40 juta saham Transmile akibat dihalang oleh Khazanah, Pos Malaysia turut dinafikan hak sebanyak RM800 juta apabila wang tersebut telah diambil oleh Khazanah untuk diagihkan kepada semua pemegang sahamnya,'' katanya pada sidang akhbar di Memorial Tun Hussein Onn di sini hari ini.
Adam sebelum ini menggesa Khazanah menjelaskan mengenai kerugian yang ditanggung oleh Pos Malaysia sebanyak RM546 juta.
Ekoran daripada itu, pelbagai pihak telah mendesak satu penjelasan mengenainya dibuat antaranya Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Pemuda UMNO.
Adam berkata, Pos Malaysia ketika itu dalam proses inovasi terutama dalam meningkatkan taraf perkhidmatannya.
''Wang RM800 juta itu diambil daripada rezab tunai Pos Malaysia yang mana jumlah keseluruhannya pada masa itu ialah RM920 juta. Kedua-dua kejadian tersebut berlaku pada 2007,'' katanya.
Menurutnya, apabila dicampur antara kedua-duanya didapati jumlah kerugian yang dialami oleh GLC itu lebih RM1 bilion.
''Inilah punca terbesar Pos Malaysia rugi. Ia bukan disebabkan kerugian operasi sebaliknya ia berpunca daripada tindakan Khazanah,'' katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan Adam berkata, beliau sedia mendedahkan beberapa lagi siri penyelewengan di dalam GLC itu sekiranya Khazanah terus mempertikaikan pendedahan yang dibuatnya.
Menurutnya, perkara itu bukan satu masalah untuk dilakukan kerana beliau merupakan bekas Pengerusi Pos Malaysia.
''Saya dilantik sebagai pengerusi pada 2005 dan ditamatkan perkhidmatan pada 2008. Sebagai pengerusi bukan eksekutif saya tetap bertanggungjawab terhadap operasi syarikat.
''Saya kemudian mendapati tindakan saya memantau operasi Pos Malaysia Berhad tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu dan akhirnya saya telah diminta untuk berhenti,'' katanya.
Beliau berkata, walaupun pernah memegang jawatan Pengerusi Pos Malaysia, ia tidak bermakna tindakannya melakukan pendedahan itu atas dasar tidak puas hati sebaliknya ia semata-mata untuk menjaga kepentingan rakyat.
''Orang boleh bercakap macam-macam tetapi saya dan rakan-rakan dalam Pakku bukan bermaksud untuk menghentam kerajaan. Kita sekadar mahu memelihara kepentingan rakyat,'' katanya
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan Jepun beberapa tahun lalu pernah jatuh apabila cuba menswastakan sepenuhnya perkhidmatan pos di negara itu.
''Amerika Syarikat (AS) juga tidak pernah menswastakan khidmat pos. Perkhidmatan pos di AS adalah di bawah kerajaan. Mengapa secara tiba-tiba Pos Malaysia mahu diswastakan sepenuhnya?'' katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada Pakku akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu itu, Adam berkata, Pakku belum bercadang untuk berbuat demikian.
''Kita lebih selesa melakukan tindakan atas landasan politik,'' katanya lagi.
-sumber Utusan Online 7Mei2010

No comments:

Post a Comment