Wednesday, May 12, 2010

Kalimullah didesak perjelas portal Malaysia Insider

KUALA LUMPUR 11 Mei - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) sudah mengumpul 80 peratus dokumen dan maklumat mengenai Pengarah Efficient E-Solution Berhad, Datuk Seri Kalimullah Hassan yang didakwa menaja portal berita propembangkang The Malaysian Insider.
Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya akan menyerahkan dokumen lengkap sama ada kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, selepas ini, terserah kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Kalimullah dan seorang lagi pengarah syarikat itu, Shaikh Akmal Shaikh Alauddin.
"Sesiapa pun boleh menaja mana-mana portal tetapi mengapa mereka menaja laman blog yang memfitnah kerajaan sedangkan mereka mendapat projek besar daripada kerajaan Malaysia sebelum ini.

"JMM prihatin dengan kenyataan yang mengutuk kerajaan serta menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana banyak cerita yang dipaparkan hanya fitnah dan ciptaan semata-mata," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas membuat kenyataan mendesak Shaikh Akmal atau Kalimullah memberikan penjelasan tentang motif menaja portal berita propembangkang itu.
Menurut Azwanddin, JMM melihat perkara itu sebagai satu permainan politik kotor dan kerana itu Kalimullah perlu bertanggungjawab dengan memberi penjelasan kepada rakyat.
Jika mereka enggan tampil memberi penjelasan secara terbuka atau bersemuka dengan JMM katanya, kedua-duanya boleh menulis surat kepadanya atau membuat laporan polis menafikan tuduhan tersebut.
Azwanddin berkata, Shaikh Akmal dan Kalimullah ialah pengarah bukan bebas dalam Efficient E-Solution Berhad dengan VPI International Sdn. Bhd. sebagai anak syarikat dan Regalia Solution Sdn. Bhd. dianggap penaja utama portal berita itu.
Menurutnya, penjelasan itu sangat penting kerana The Malaysian Insider dilihat seakan-akan bekerjasama dengan Malaysia Today dan Raja Petra Kamaruddin untuk memburukkan imej kepimpinan negara yang boleh menjejaskan ekonomi Malaysia.
Jelas beliau, pendedahan JMM mengenai dakwaan terhadap Kalimullah dan Shaikh Akmal sejak Februari lalu telah mendapat tindak balas daripada banyak pihak termasuk agensi kerajaan yang tampil mengemukakan bukti-bukti.
JMM dalam kenyataannya pada 20 Mac lalu mendesak Shaikh Akmal tampil memberi penjelasan mengenai hubungannya dengan Kalimullah kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan dalam Efficient E-Solution Berhad, syarikat yang mendapat kontrak RM900 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam pada itu, beliau memberitahu, JMM ditubuhkan pada 2008 dengan tujuan memantau media Internet di samping mengangkat kaum Melayu dan kini mempunyai 1,000 ahli berusia di bawah 40 tahun.
-sumber Utusan Online 11Mei2010