Wednesday, November 14, 2012

Tidak kisah dilabel 'pemimpin politik jalanan'


KUALA LUMPUR 10 Nov. - Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah tidak kisah dilabel sebagai 'pemimpin politik jalanan', sebaliknya berbangga dengan perjuangan pertubuhannya yang dianggap dekat dengan hati masyarakat.

Menurut Azwanddin, beliau tidak pernah berniat untuk menjadikan pertubuhannya itu platform bagi mencapai kepentingan sendiri.


"Saya berasa puas dalam perkara ini yang menjadikan saya untuk berjuang dengan lebih bersemangat, jujur dan amanah kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 7 November lalu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menempelak Azwanddin sebagai 'pemimpin politik jalanan' kerana mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai liabiliti kepada Barisan Nasional (BN) berikutan terdapat isu mengaitkan menteri itu dengan ahli perniagaan balak, Michael Chia.

Mohamed Nazri turut menyifatkan isu berkenaan tidak sedikit pun menggugat beliau atau jawatan yang disandangnya dalam kerajaan.

Azwanddin seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Mohamed Nazri kerana mempelawanya untuk bertanding di kawasan Parlimennya di Padang Rengas, Perak.

"Saya tahu saya tidak layak seperti beliau sebagai seorang pemimpin yang hebat. Saya hanya sekadar pemimpin jalanan," katanya.

Tegasnya, beliau tidak bercita-cita menjadi menteri kerana merasakan perjuangannya sekarang memberi kepuasan selain lebih jujur dan amanah.

"Saya mahu melihat beliau (Mohamed Nazri) bertanding dalam Majlis Tertinggi UMNO. Saya berharap beliau boleh bertanding dan mendapat undian yang tinggi kerana saya yakin orang hebat tidak akan ada masalah," jelasnya.


Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment