Wednesday, June 27, 2012

Pas perlu nyatakan pendirian isu LGBT, pluralisme dan liberalisme


KUALA LUMPUR 26 Jun - Pas perlu tampil menyokong pendirian tegas kerajaan dalam menolak budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada bertapak di negara ini jika benar parti itu memperjuangkan akidah Islam seperti didakwa.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga menuntut Pas menjelaskan pendiriannya berhubung ideologi pluralisme dan liberalisme yang diketahui diperjuangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun bertentangan dengan Islam.


Menurut beliau, amalan LGBT serta fahaman pluralisme dan liberalisme jelas terkeluar daripada ajaran Islam tetapi beliau pelik kenapa Pas yang mendakwa parti Islam boleh bersekongkol dengan pakatan pembangkang yang ternyata menyokong perkara itu.


"Saya harap Pas jangan menyokong melulu tanpa meneliti apa sebenarnya yang ada dalam LGBT. Jangan kita memberi sokongan secara semberono semata-mata demi kepentingan politik kerana ia akan mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.

"Dalam hal ini, banyak unsur-unsur negatif akan berlaku jika budaya LBGT menjadi amalan pemimpin pembangkang. Perjuangan itu (sokongan Pas) salah dan mereka harus sedar jika benar Pas bersandar kepada Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara pelepasan Program Konvoi Jelajah Kemasyarakatan oleh Briged Sukarelawan Khidmat Negara di perkarangan Auditorium, Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama timbalan beliau, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain serta Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechik.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan akan mempertahankan kesucian agama Islam dan memastikan budaya songsang LGBT serta fahaman menyeleweng seperti pluralisme dan liberalisme tidak mendapat tempat di negara ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya menyasarkan buat permulaan seramai 8,000 daripada keseluruhan 34,364 ahli sukarelawan khidmat negara mampu bertugas secara sukarela melebihi 120 jam setahun, selepas Kabinet meluluskan pemberian elaun perkhidmatan.

Katanya, dengan kesudian kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM11 juta untuk menampung elaun perkhidmatan para sukarela, beliau berharap alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan lebih bersemangat untuk membantu masyarakat selepas ini.

Sementara itu, menyentuh mengenai konvoi jelajah kemasyarakatan yang dijayakan briged sukarelawan khidmat negara berkenaan, beliau berkata, program tersebut adalah bukti bagaimana modal insan yang dididik melalui PLKN mampu menabur bakti untuk rakyat.

Jelasnya, konvoi tersebut yang disertai 30 ahli sukarelawan akan menjelajah ke beberapa negeri di semenanjung untuk melaksanakan kerja-kerja sukarela dan di setiap perhentian, mereka akan dibantu seramai 200 lagi anggota sukarela di kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment