Sunday, May 20, 2012

Kahwin sejenis...


Pendirian Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama menyokong perkahwinan sejenis menjadi perdebatan hangat di seluruh dunia. Ketika sebahagian pihak terutama golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta golongan liberal menyokong, banyak yang membantah.

Walaupun Obama mendakwa ia merupakan pendirian peribadi, ramai yang kecewa terhadap beliau, yang dipercayai ada kaitan dengan pengaruh pelobi LGBT. Beberapa penganalisis AS melihat populariti Obama masih tinggi dan sukar digugat tetapi perkembangan itu dikhuatiri boleh menggagalkan peluangnya untuk memenangi pemilihan jawatan Presiden bagi penggal kedua November ini.




Di Amerika Syarikat, bukan semua berkongsi pandangan dengan Obama. Beberapa hari sebelum kenyataan beliau, sebanyak 61 peratus penduduk Carolina Utara mengundi untuk melarang perkahwinan sejenis dan tinggal bersama tanpa ikatan sah.

Calon Presiden Republikan, Mitt Romney turut mempunyai pendirian yang bercanggah dengan Obama. Beliau menolak perkahwinan sejenis. Walaupun menghadapi bantahan keras puak penyokong perkahwinan sejenis terutama LGBT yang terkenal di serata dunia agresif memperjuangkan hak mereka, Romney tidak sedikitpun berganjak.

Turut menerima tekanan daripada kelompok LGBT ialah peninju terkenal Filipina, Manny Pacquiao yang mempunyai kediaman di Los Angeles. Ekoran reaksinya yang mempersoalkan tindakan Obama menyokong perkahwinan sejenis, beliau dituduh anti gay. Satu petisyen online dibuat agar pengeluar produk sukan terkemuka, Nike berhenti menaja Pacquiao.

Di peringkat antarabangsa, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard dalam reaksinya tetap menolak perkahwinan sejenis. Pada 2004, Australia meluluskan pindaan undang-undang yang secara jelas mentakrifkan perkahwinan sebagai antara lelaki dan wanita. Kerajaan Australia juga tidak terkecuali daripada menghadapi tekanan dan asakan penyokong LGBT. Pada Disember tahun lalu, lebih 10,000 orang berarak mahu kerajaan menarik balik penentangan terhadap perkahwinan sejenis. Di Britain, gerakan menyokong perkahwinan sejenis hampir sampai ke kemuncak apabila Perdana Menteri, David Cameroon bersetuju untuk membenarkannya. Bagaimanapun, banyak pihak membantah termasuk pemimpin Katolik, Kardinal Keith o’ Brien yang menyifatkannya sebagai ‘gila’. Beliau menganggap tindakan itu sebagai subversif keterlaluan ke atas hak asasi manusia yang telah diterima secara universal. Tetapi kelompok LGBT meningkatkan lagi tekanan ke atas pihak gereja.

Di Malaysia, masyarakat pernah dikejutkan dengan beberapa perkahwinan sejenis melibatkan warga negara kita sama ada di dalam mahupun luar negara. Kisah perkahwinan sejenis antara dua wanita di Tumpat, Kelantan pada 1996 dan seorang pelajar lelaki Malaysia berkahwin dengan pemuda Inggeris baru-baru ini boleh dijadikan pengajaran betapa ramai orang Islam terjebak. Cabarannya, apa lagi yang kita tidak tahu? Difahamkan, gerakan LGBT kini berada pada fasa baru, yang dalam senyap dipersiapkan menjadi satu angkatan berpengaruh sebagaimana di AS dan Eropah. Apatah lagi mereka mendapat motivasi daripada seorang pemimpin politik biseksual di negara ini. Bersediakah kita untuk menghadapi serangan itu nanti?

No comments:

Post a Comment