BATU PAHAT: Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM),
Azwanddin Hamzah (kanan) semalam mengakui beliau antara bekas mahasiswa yang
pernah dihantar menjalani latihan mengadakan demonstrasi di Indonesia pada 1998
bagi menentang kerajaan dengan tujuan mencetuskan huru-hara dalam negara.
Malah, Azwanddin berkata, selain Indonesia, mahasiswa negara
ini yang dipilih khas untuk mempelajari dan berlatih cara berdemonstrasi turut
dihantar ke Korea Selatan dan Filipina, khusus bagi pemindahan 'teknologi
demonstrasi' ke negara ini.
"Saya tidak terkejut langsung dengan pendedahan
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi kerana saya sendiri pernah
dihantar dan menjalani latihan di Jakarta pada 1998 oleh satu parti politik
tempatan bagi menentang kerajaan. Ini bukan baru, malah sudah dimulakan sejak
1998.
"Malah, saya percaya pendedahan dua mahasiswa kepada
Puad membuktikan gerakan penghantaran mahasiswa ke luar negara masih aktif
dilakukan khususnya kebelakangan ini.
"Gerakan menghantar mahasiswa ke luar negara digerakkan
pemimpin muda parti politik itu yang menjadi perancang dan pengendali utama
yang turut bertanggungjawab menyusun strategi, teknikal dan taktikal
provokasi," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Ahad lalu, akhbar ini menyiarkan pendedahan dua mahasiswa
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada Puad, mendakwa mereka ditaja
sebuah parti politik untuk mempelajari dan berlatih cara mengadakan demonstrasi
jalanan yang dianjurkan pertubuhan di negara luar, termasuk Indonesia.
Mereka turut mendakwa seorang pelajar IPTA yang kini
digantung pengajian dan sering kelihatan pada setiap demonstrasi membabitkan
parti politik itu, turut dihantar bersama mereka ke Indonesia.
Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, mahasiswa IPTA yang mahu
dihantar ke luar negara untuk menjalani latihan itu dikenal pasti terlebih
dulu, terutama dalam kalangan propembangkang serta mahasiswa yang menunjukkan
ciri-ciri menentang kerajaan.
"Pemilihan mahasiswa tidak dilakukan secara terbuka dan
sulit bagi mengelakkan ia diketahui pihak universiti atau pelajar lain.
"Kebiasaannya, 10 mahasiswa dihantar ke luar negara
termasuk ke Indonesia, Korea Selatan dan Filipina secara silih berganti, untuk
menjalani latihan selama dua minggu, sebelum dibawa pulang. Mereka akan
dikendalikan pemimpin muda parti itu yang turut menyertai rombongan.
"Berdasarkan pengalaman sendiri, saya pernah
mengendalikan penghantaran 10 mahasiswa. Mereka yang dihantar akan ditempatkan
di hotel pada minggu pertama latihan sebelum berpindah ke kem atau asrama
tertentu," katanya.
Beliau berkata, semua perbelanjaan mahasiswa yang dihantar
ke luar negara ditanggung parti itu.
Azwanddin berkata, mahasiswa juga menjalani latihan bersama
NGO luar negara yang mahir dalam demonstrasi di negara mereka, selain
ditekankan doktrin manipulasi dan provokasi terhadap pihak berkuasa.
"Antara aspek diajar, cara menjatuhkan badan bagi
memanipulasi keadaan, melawan gas pemedih mata dan melakukan provokasi terhadap
pihak berkuasa untuk menarik perhatian media antarabangsa.
"Malah, mahasiswa turut ditanam idealisme komunisme
iaitu diangkat sebagai wira atau pejuang, jika ditangkap pihak berkuasa mahupun
gambar mereka disiarkan media antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, mahasiswa yang selesai menjalani latihan di
luar negara juga dipertanggungjawabkan melatih mahasiswa tempatan sekembalinya
dari luar negara.
"Mahasiswa yang mendapat pendedahan luar disebut
sebagai 'lapisan pertama'. Mereka akan memasuki IPTA dan IPTS bagi melatih
'lapisan kedua' dan dijalankan secara sulit dan tertutup," katanya.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment