Monday, April 30, 2012

Dasar Sosial Negara patut dikaji


KUALA LUMPUR: Dasar Sosial Negara perlu dikaji dari masa ke semasa bagi membendung penularan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin serius di negara ini, kata aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye.

"Kita harus memfokuskan kepada institusi kekeluargaan kerana banyak isu keruntuhan moral hari ini termasuk budaya songsang berpunca daripada kelemahan institusi kekeluargaan, maka ibu bapa yang kena bertanggungjawab terhadap perkara itu.

"Sudah tiba masa bagi kerajaan kaji semula dasar berkenaan untuk menentukan apa kelemahan yang dihadapi sekarang dan bagaimana boleh dimantapkan membolehkan pihak berkuasa menangani isu itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Aman Kampus - Mahasiswa Tak Nak LGBT dan Seks Bebas anjuran Aman Kampus dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), di Universiti Malaysia (UM), di sini semalam. Hadir sama Presiden JMM, Azwanddin Hamzah.

DI BANGI, Lam Thye yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), berkata industri pembinaan menyumbang kepada jumlah paling tinggi kemalangan dan kecederaan di tempat kerja iaitu 4,665 kes daripada jumlah keseluruhan 35,616 kes sepanjang 2010.

Katanya, industri perkhidmatan membabitkan elektrik, air dan gas mencatat jumlah kedua tertinggi nahas dan kecederaan di tempat kerja sebanyak 2,819, manakala industri pembuatan, 599 kes.

Beliau berkata, jumlah kemalangan dan kecederaan di tempat kerja secara keseluruhan pada 2010, tetapi menurun 39,770, iaitu kira-kira 50 peratus daripada 75,386 kes berbanding 10 tahun lalu.

Selain itu, katanya, 20 sekolah menengah di Lembah Klang sudah membabitkan diri dalam program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang dianjurkan NIOSH di sekolah, sejak ia diperkenalkan awal Mac lalu.