"Saya kesal dengan lambakan golongan terbabit dan
kecewa apabila mereka ini tidak malu memperjuangkan gaya
hidup songsang yang ternyata salah di sisi syarak," kata Nor Farihah
Adnan, 20, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Malaya (UM).
Nor Farihah ketika ditemui pada Program Jelajah Aman Kampus
anjuran Jaringan Melayu Malaysia (JMM) di Auditorium Fakulti Pendidikan UM,
semalam menyatakan kekesalan terhadap kewujudan kumpulan LGBT selepas
menyifatkan masalah itu memporak-perandakan masyarakat dan negara.
Selain Nor Farihah, 50 pelajar dari Universiti Putra
Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Limkokwing dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang menyertai program
itu sama menyatakan kebencian mereka terhadap isu LGBT sambil melaungkan
`Mahasiswa Taknak LGBT dan seks bebas'.
Dalam majlis itu, Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah
Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye hadir merasmikan program dan menyifatkan
pembangunan ekonomi, sains dan teknologi dikecapi negara tidak membawa sebarang
makna sekiranya pembangunan sosial dipinggirkan.
"Sebagai pelajar, saya melihat isu LGBT sangat
membimbangkan dan dikhuatiri jika masalah itu tidak dibendung di peringkat akar
umbi, ia mempengaruhi kanak-kanak dan pelajar sekolah," katanya.
Pelajar UTM, Muhammad Faezee Zulkiflee, 19, menyarankan
pihak berkuasa tempatan mengenakan tindakan keras terhadap kumpulan LGBT
termasuk hukuman penjara sebelum dibentuk semula akhlak mereka.
"Perkara mengecewakan adalah mereka ini seakan-akan
mencabar polis memansuhkan Seksyen 377 bertujuan menghalalkan seks
songsang," katanya.
Presiden JMM, Azwandin Hamzah berkata, kajian dilakukan
tahun lalu mendapati 18 kes perceraian disebabkan suami menjalinkan hubungan
sulit dengan pasangan lelakinya.
"Selain itu, 28 kes yang dilaporkan juga mendapati 28
kes membabitkan hubungan songsang antara pelajar dengan pelajar serta pelajar
dengan guru.
"Punca masalah ini disebabkan remaja terbabit dibawa
menyertai parti tertutup sebelum mereka terperangkap menjalinkan hubungan
songsang," katanya.
No comments:
Post a Comment