Desakan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) misalnya supaya bahasa Inggeris dikembalikan untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah amatlah keterlaluan
KITA lazim mendengar keluh-kesah kononnya kemerdekaan tanah air sudah tidak membekas dalam kalangan generasi hari ini. Benarkah mereka bersikap sedemikian tanpa disedari bahawa langkah atau tindakan kita selama inilah punca lunturnya nilai patriotisme mereka?
Pendek kata, di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Begitulah juga erti kemerdekaan bagi golongan remaja yang merupakan cerminan daripada sikap golongan dewasa terhadap makna kemerdekaan itu sendiri.
Akibat sebahagian golongan dewasa yang menjadi pimpinan badan-badan penting di negara ini tidak patriotik melalui dasar atau tindakan yang diambil maka tidak hairanlah majoriti generasi muda menjadi 'buta' nilai kemerdekaan apatah lagi perjuangan.
Lihatlah dalam kebanyakan keputusan atau dasar yang dilakukan. Kerap kali kepentingan nasional tidak didahulukan. Paling ketara adalah soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bermaruah di Malaysia.
Semua orang tahu di mana letak duduk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara yang telah 54 tahun merdeka ini tidak ubah bagai Quran buruk. Dibuang tidak boleh, digunakan segan pula. Semuanya menjadi serba-salah bagi mereka yang belum benar- benar merdeka jiwanya.
Bahasa Melayu telah diupayakan sejak kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak namun selepas 30 tahun tiba-tiba bahasa Melayu yang telah berjasa melahirkan golongan profesional daripada pelbagai kaum bahasa Melayu dilihat kolot lantaran kononnya tidak mampu bersaing di pentas global.
Tambah memburukkan keadaan apabila ada pertubuhan bukan kerajaan yang sering mendesak supaya bahasa Inggeris diberi keutamaan.
Desakan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) misalnya supaya bahasa Inggeris dikembalikan untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah amatlah keterlaluan.
Hal ini kerana kerajaan telah pun berjanji untuk memansuhkan dasar itu menjelang tahun 2012 sebagai reaksi terhadap permintaan Gerakan Mansuhkan PPSMI yang berarak pada 7 Mac 2009 lalu.
Jadi, bagaimana penghargaan generasi muda terhadap erti kemerdekaan tidak subur jika apa yang dilihat dan didengarnya adalah suara-suara yang galak mahu kembali ke dasar yang menyanjung bahasa milik bangsa lain sebaliknya bahasa sendiri didakwa 'hodoh' dan ketinggalan zaman?
Rentetan daripada sanjungan minda terjajah kepada bahasa Inggeris seterusnya mempengaruhi pertimbangan dalam sesuatu keputusan apabila kerap kali faktor orang asing serta pengiktirafan dari luar didahulukan melampaui agenda kepentingan nasional dan rakyat sendiri.
Tindakan Naib Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon misalnya yang membawa masuk begitu ramai ahli akademik dan pelajar asing khususnya dari negara dunia ketiga bagi memenuhi kriteria penarafan antarabangsa berpunca daripada minda yang masih terjajah.
Apakah erti kemerdekaan jika kedudukan anak watan seolah-olah dianaktirikan sebagai ahli akademik dan pelajar di tanah air sendiri semakin terhad?
Lebih penting lagi, bagaimana falsafah pendidikan negara serta pembentukan negara bangsa akan terlaksana sepenuhnya jika tanggungjawab mendidik anak bangsa di tanah airnya sendiri diserahkan kepada orang asing?
Dalam masa sama, nilai kemerdekaan negara ini juga pasti lebih dihargai oleh generasi muda hari ini andainya para pemimpin kita dapat melontarkan pendapat atau reaksi kepada media massa dalam bahasa kebangsaan.
Tindakan sebahagian pemimpin yang lebih selesa berbicara dalam bahasa Inggeris dalam khalayak rakyat sebenarnya secara tidak langsung satu bentuk 'asuhan' kepada generasi hari ini untuk meninggalkan bahasa Melayu.
Oleh itu, golongan muda tidak harus terus dijadikan kambing hitam dalam mendakwa mereka tidak patriotik atau gagal menghayati erti kemerdekaan.
Jiwa yang merdeka bukan terletak pada sejauhmana kita bersemangat mengibar bendera sebaliknya terletak pada sejauhmana golongan dewasa dan berpengaruh memberi tauladan yang baik dalam soal pembudayaan bahasa kebangsaan kepada generasi muda sebagai ciri utama bangsa yang merdeka.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment