Friday, August 26, 2011

Lagi NGO desak jual Esso kepada syarikat tempatan

"Penjualan tersebut juga boleh menjatuhkan imej Malaysia kerana SMC merupakan syarikat pengilangan arak dan ini sudah tentu melibatkan kepentingan dan sensitiviti rakyat Malaysia kerana ramai pekerja Esso Malaysia ialah rakyat tempatan," - Azwanddin Hamzah Presiden JMM

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini terus mendesak ExxonMobil International Inc. (ExxonMobil) supaya tidak menerima tawaran syarikat minuman keras Filipina, San Miguel Corporation (SMC) yang mahu mengambil alih 65 peratus pegangan dalam Esso Malaysia Berhad (Esso).

Kesemua mereka mahu ExxonMobil supaya menjual pegangannya di dalam Esso Malaysia kepada syarikat tempatan.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, ExxonMobil perlu memastikan syarikat tempatan diberi keutamaan berbanding syarikat asing.

"Kenapa tidak mahu jual Esso kepada syarikat tempatan, Boustead Holdings Berhad yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang turut menyatakan minat untuk membelinya.

"Mereka (LTAT) juga sudah mempunyai pengalaman dalam operasi peruncitan minyak kerana sudah memiliki rangkaian stesen minyak BHPetrol (BHP)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas ura-ura penjualan 65 peratus kepentingan anak syarikat ExxonMobil kepada SMC yang dikatakan membuat tawaran keseluruhan bernilai RM514.25 juta untuk memilikinya.

Difahamkan, sebelum ini Boustead Holdings Berhad yang dimiliki oleh LTAT dikaitkan untuk membeli ekuiti Esso Malaysia dengan tawaran keseluruhan RM1 bilion.

Azwanddin berkata, kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan agar syarikat tersebut tidak jatuh ke tangan syarikat asing apatah lagi syarikat tersebut melibatkan arak.

"Penjualan tersebut juga boleh menjatuhkan imej Malaysia kerana SMC merupakan syarikat pengilangan arak dan ini sudah tentu melibatkan kepentingan dan sensitiviti rakyat Malaysia kerana ramai pekerja Esso Malaysia ialah rakyat tempatan," katanya.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Zubir Harun berkata, Perkasa mendesak kerajaan supaya campur tangan menggunakan apa jua cara yang dibenarkan undang-undang bagi tidak membenarkan Esso dijual kepada SMC.

Kerajaan, katanya, perlu memastikan LTAT diberi peluang untuk membeli Esso Malaysia bagi memastikan institusi bumiputera dapat menguasai sektor minyak dan gas yang strategik melalui pembelian ekuiti tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Kesejahteraan Ummah, Senator Datuk Akbar Ali berkata, sudah sampai masanya syarikat tempatan seperti LTAT mengambil peluang untuk memiliki Esso bagi meningkatkan lagi industri peruncitan minyak dalam negara.

"Dalam soal ini, Esso Malaysia perlu peka kepada sensitiviti negara kita, saya percaya pasti ada syarat-syarat atau terma yang memerlukan syarikat itu memberi tawaran kepada syarikat tempatan terlebih dahulu," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment