Tuesday, September 6, 2011

NGO Melayu Sokong Polisi PPSMI

"Kerajaan perlu mengambil kira pandangan ibu bapa mengenai pendidikan anak-anak mereka daripada kita menghapuskan ia (PPSMI) sepenuhnya

PETALING JAYA: Hasil kaji selidik Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendapati organisasi bukan kerajaan (NGO) Melayu adalah di antara 15,000 responden yang melahirkan sokongan terhadap isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Kaji selidik yang berlangsung selama empat bulan mendapati 54% daripada keseluruhan responden di seluruh negara termasuk golongan guru dari kawasan pedalaman mahu PPSMI dikekalkan.

70% daripada responden terdiri daripada bangsa Melayu.

Menurut Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, walaupun perlembagaannya jelas menyatakan peranan mereka dalam mendukung bahasa Malaysia, sokongan daripada ibu bapa berkenaan isu itu tidak boleh diketepikan begitu saja.

Kaji selidik itu juga menyatakan 66% ibu bapa daripada kawasan pedalaman bersetuju pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan memberikan masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak mereka.

"Kerajaan perlu mengambil kira pandangan ibu bapa mengenai pendidikan anak-anak mereka daripada kita menghapuskan ia (PPSMI) sepenuhnya.

"Sebagai contoh, sesetengah sekolah di kawasan bandar boleh menawarkan PPSMI. Ibu bapa sangat menyokong pelaksanaan itu. Terpulang kepada kerajaan dan guru-guru untuk bersiap sedia bagi melaksanakannya.

"Bahasa Inggeris merupakan salah satu keperluan untuk anak-anak kita melanjutkan pengajian di luar negara dan juga kriteria penting dalam pencarian hampir 12 juta peluang pekerjaan di negara ini," katanya.

Azwanddin menambah, keputusan kaji selidik itu juga mencerminkan sokongan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) terhadap pelaksanaan PPSMI.

Katanya, JMM juga telah bersedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri berserta pencarian yang diperolehi bersama PAGE jika perlu.

Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim juga dipanggil untuk mengadakan mesyuarat dengan Kabinet bagi mendapatkan penyelesaian isu berkenaan.

Sumber: Mstar Online