Wednesday, July 13, 2011

JMM anggap Pas singkatan kepada 'Pengikut Ambiga Sreenavasan'

" Oleh itu, mulai hari ini JMM mengisytiharkan Pas sebagai 'Pengikut Ambiga Sreenavasan'. Moto 'hidup Pas' yang dilaungkan pemimpin dan pengikut Pas samalah juga dengan 'hidup Ambiga Sreenavasan',"

KUALA LUMPUR 11 Julai - Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini menyifatkan singkatan bagi Parti Islam SeMalaysia (Pas) sepatutnya ditukar kepada 'Pengikut Ambiga Sreenavasan (PAS)'.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, singkatan itu sepatutnya digunakan kerana ketaksuban pemimpin tertinggi dan pengikut parti itu menyertai perhimpunan haram Bersih di ibu negara kelmarin.

"Kita boleh saksikan sendiri betapa taksubnya pemimpin tertinggi Pas dan pengikut parti pembangkang itu yang bersungguh-sungguh menyertai perhimpunan haram itu walaupun dilarang pihak berkuasa.

"Sehinggakan beberapa individu yang disenaraihitamkan daripada memasuki ibu negara seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar sanggup melanggar perintah tersebut demi menyokong perhimpunan haram anjuran Ambiga," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini turut menyatakan sokongan kepada perhimpunan haram Bersih.

Menurut Azwanddin , pemimpin tertinggi dan pengikut Pas dilihat terlalu mengagungkan Ambiga dengan sanggup mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong dengan tetap menyertai demonstrasi itu malah sanggup ditahan dan dikenakan tindakan.

Justeru itu, Azwanddin berkata, ia membuktikan pengikut Pas samalah dengan pengikut Ambiga.

"Oleh itu, mulai hari ini JMM mengisytiharkan Pas sebagai 'Pengikut Ambiga Sreenavasan'. Moto 'hidup Pas' yang dilaungkan pemimpin dan pengikut Pas samalah juga dengan 'hidup Ambiga Sreenavasan'," katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan perintah larangan mahkamah terhadap 91 individu dari memasuki lokasi tertentu di ibu negara mulai 8 pagi sehingga 6 petang, 9 Julai.

Bagaimanapun, beberapa individu tersebut didapati melanggar perintah itu dan berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.