Tuesday, May 3, 2011

Pertahan Anwar habis-habisan

“Ketetapan ini membuktikan pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk membelakangkan undang-undang negara jika ia tidak memberi sebarang keuntungan politik kepada mereka,”

KUALA LUMPUR 27 April – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendakwa pembangkang telah membuat ketetapan untuk mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim habis-habisan jika mahkamah memutuskan ketua pembangkang itu bersalah dalam pertuduhan liwat.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, ketetapan itu dibuat kerana pembangkang menganggap pemimpin mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dan Anwar sendiri mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada undang-undang negara.

“Saya difahamkan keistimewaan ini bukan hanya membabitkan Anwar seorang tetapi turut melibatkan seluruh ahli keluarga Anwar terutamanya Wan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) dan Nurul Izzah.

“Ketetapan ini membuktikan pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk membelakangkan undang-undang negara jika ia tidak memberi sebarang keuntungan politik kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang menetapkan 16 Mei ini, sama ada Anwar akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Mengulas lanjut Azwanddin berkata, ketetapan yang dibuat itu membuktikan bahawa pembangkang tidak pernah ikhlas berjuang untuk rakyat sebaliknya, mereka hanya berjuang demi kepentingan cita-cita politik Anwar seorang sahaja.

Katanya, demi cita-cita Anwar untuk bergelar Perdana Menteri, rakan komponen pembangkang terutamanya Pas yang sebelum ini melabelkan diri mereka sebagai parti Islam pun terpaksa menjadi ‘pak turut’ sehingga sanggup menghalalkan segala salah laku moral ketua pembangkang itu.

“Rakyat perlu sedar bahawa pembangkang tidak pernah ikhlas. Mereka hanya ingin kuasa demi kepentingan Anwar sehingga sanggup menggadaikan segala integriti dalam berpolitik,” ujarnya.