Sunday, March 13, 2011

JMM minta penjelasan Pas

"Jika kenyataan saya sebelum ini dianggap oleh ahli dan penyokong Pas sebagai berdosa, apa pula hukum bagi Mursyidul Am Pas dan parti ini melindungi seseorang yang sampai sekarang tidak berani bersumpah tidak meliwat.

KUALA LUMPUR 11 Mac - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mahu Pas menjelaskan apakah hukum parti itu melindungi seseorang yang dikaitkan dengan kegiatan meliwat tetapi tidak berani bersumpah bahawa dia tidak terlibat.

Pengarah Kebangsaannya, Farahana Jamaludin berkata, Pas wajib menjelaskan hukum tersebut memandangkan kenyataannya sebelum ini, yang menyamakan imej Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ayah Pin dianggap sebagai berdosa.

"Jika kenyataan saya sebelum ini dianggap oleh ahli dan penyokong Pas sebagai berdosa, apa pula hukum bagi Mursyidul Am Pas dan parti ini melindungi seseorang yang sampai sekarang tidak berani bersumpah tidak meliwat.

"Sedangkan, jika mangsa sudah bersumpah mengikut Islam bahawa dia telah diliwat oleh tertuduh, individu tersebut sepatutnya juga bersumpah bagi mencari kebenaran tetapi, Pas pula melindungi orang seperti ini.

"Bukankah pelik bagi sebuah parti yang mendakwa parti Islam tetapi dalam hal ini tidak pula mendesak tertuduh supaya bersumpah sebagaimana dituntut Islam," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi penyokong dan pemimpin Pas yang berang apabila imej Nik Abdul Aziz yang sering kali mengeluarkan 'fatwa politik' sehingga memecah-belahkan umat Islam di negara ini disamakan dengan Ayah Pin.

Baru-baru ini, Farahana berkata, kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai persamaan dari segi imej kerana mereka bertindak mengaburi mata dan hati pengikutnya dengan agama demi kepentingan politik peribadi.

Kenyataan itu kemudiannya mengundang kemarahan pemimpin Pas, yang mendesak Farahana dan JMM memohon secara terbuka, selain laporan polis turut dibuat bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan.

Dalam pada itu, Farahana mempersoalkan apakah reaksi 'luar biasa' yang ditunjukkan oleh pemimpin Pas terhadap kenyataannya itu, sebagai bukti bahawa parti tersebut mengamal pilih kasih terhadap pandangan wanita.

"Ini kerana kepimpinan Pas tidak pernah memberi reaksi terhadap kenyataan JMM sebelum ini tetapi apabila saya bersuara, mereka bertindak dengan cukup 'luar biasa'. Apakah ini usaha untuk menutup pandangan wanita," soalnya.

sumber: Utusan Malaysia