Thursday, March 17, 2011

Ahli PAS disaran tidak tunjuk reaksi kepartian melampau

“Adakah reaksi melampau seperti memaki hamun dan melenting tidak tentu pasal yang ditunjukkan oleh mereka itu adalah sesuatu yang diajar oleh pemimpin Pas kepada ahlinya?

KUALA LUMPUR 16 Mac – Ahli Pas minta supaya tidak menunjukkan reaksi kepartian yang melampau kerana ia hanya akan memburukkan imej parti berkenaan pada mata umum. 

Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Farahana Jamaludin berkata, pengikut Pas juga harus mengelakkan diri daripada berpegang kepada prinsip parti itu yang selama ini seringkali menyalahkan orang lain walaupun diri sendiri yang melakukan kesalahan.

“Adakah reaksi melampau seperti memaki hamun dan melenting tidak tentu pasal yang ditunjukkan oleh mereka itu adalah sesuatu yang diajar oleh pemimpin Pas kepada ahlinya?

“Saya dengan ikhlas hati memohon mereka supaya bersikap rasional serta tidak terikat dengan reaksi yang melampau terhadap sesuatu isu yang timbul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Farahana diminta mengulas kenyataannya baru-baru ini yang mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin, mempunyai persamaan dari segi imej kerana tindakan mereka mengaburi mata dan hati pengikutnya melalui agama demi kepentingan politik peribadi.

Kenyataan itu kemudiannya mengundang kemarahan pemimpin Pas yang mendesak dia dan JMM memohon secara terbuka, selain laporan polis turut dibuat bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan.

Dalam pada itu, dia menyeru agar pihak yang membuat laporan polis terhadapnya sebelum ini memberikan bukti-bukti untuk dijadikan perbandingan yang boleh membezakan Nik Abdul Aziz dan Ayah Pin.

“Semua bukti perbandingan itu harus dikemukakan supaya umat Islam di negara ini tidak terkeliru dengan imej ‘Islam’ yang dibawa Nik Aziz,” katanya.

Tambah Farahana, dia juga masih menunggu maklum balas daripada pengikut Pas berkaitan kenyataannya mengenai hukum melindungi peliwat.

1 comment:

  1. Pengikut PKR dan barisan, apa kurangnya??
    Assalamualaikum..

    ReplyDelete