Sunday, March 13, 2011

Antara Dua Garisan perjelas isu Malaysia-Indonesia

HAMDAN Mohd. Salleh (kanan) pada sidang akhbar mengenai program Antara Dua Garisan di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Mac - Rakyat negara ini berpeluang mendapatkan maklumat yang lebih tepat berhubung masalah dan isu semasa membabitkan Malaysia dan Indonesia menerusi program Antara Dua Garisan yang dijangka disiarkan pada Jun ini.


Pengarah Kebangsaan Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Mohd. Salleh berkata, program selama 30 minit yang dijayakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari dua negara itu bakal disiarkan selama 12 bulan di stesen televisyen Malaysia dan Indonesia yang terpilih.

Tanpa mendedahkan stesen televisyen itu, jelasnya, siri pertama program Antara Dua Garisan akan menyiarkan wawancara membabitkan menteri dan ketua menteri dari Malaysia serta temu bual rakyat kedua-dua negara mengenai sesuatu isu.

"Selain itu, siaran program yang akan memulakan penggambaran pada 21 Mac ini turut meliputi elemen yang dikongsi kedua-dua negara seperti sukan, kebudayaan, keselamatan, ekonomi dan hiburan.

"Oleh itu, program ini diharap dapat memberi penjelasan yang lebih tepat mengenai sesuatu perkara khususnya isu sensitif yang sebelum ini rakyat disogok dengan maklumat negatif oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar mengenai program itu di sini hari ini.

Hamdan memberitahu, pelancaran program Antara Dua Garisan akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang akan disertai Timbalan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Sakhyan Asmara di sini pada 20 Mac ini.

Katanya, penggambaran program itu di Malaysia akan dilakukan oleh Suar Channel Sdn. Bhd. membabitkan kos kira-kira RM200,000 manakala P.T. Riri Artha pula melakukan penggambaran di Indonesia.

"Buat masa ini kita masih dalam perbincangan untuk mendapatkan tajaan daripada syarikat korporat dan swasta bagi melancarkan penyiaran program ini.

"JMM mahu membetulkan pandangan rakyat kedua-dua negara mengenai hubungan sebenar Malaysia- Indonesia yang diibaratkan sebagai abang dan adik. Kita mempunyai banyak persamaan budaya dan masalah yang dihadapi itu boleh diselesaikan," katanya.

sumber: Utusan Malaysia