Monday, January 24, 2011

Mesyuarat MPK #2 - Hala Tuju Pertubuhan 2011

AMPANG 13Jan - Bertempat di Hotel DePalma Ampang, Selangor, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Majlis Pengarah Kebangsaan #2 bagi membincangkan pelbagai program serta menetapkan hala tuju pertubuhan ini khususnya di dalam merancang pelbagai bentuk program dan isu-isu semasa.


MPK yang bersidang pada hari telah membahaskan isu novel "Interlock" karya Datuk Abdullah yang telah digunakan oleh beberapa pihak dan individu sebagai alat politik. Ahli Lembaga Pengarah telah sebulat suara bersetuju bahawa isu ini tidak ada kena mengena dengan pendidikan tetapi lebih menjerumus kepada permainan politik oleh segelintir pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

MPK telah mengambil keputusan sebulat suara menyokong karya "Interlock" dan satu program "Pelancaran Semula Karya Interlock" akan dianjurkan oleh JMM pada sedikit masa lagi. MPK berpendapat sebagai sebuah pertubuhan yang berpaksikan Jujur dan Amanah, adalah menjadi tanggungjawab bagi kita umat Melayu menaikkan semula Datuk Abdullah selepas beliau dikecam hebat. JMM merancang untuk mengedarkan buku Interlock yang ditandatangani oleh Datuk Abdullah secara percuma pada majlis tersebut.


MPK yang bersidang pada hari tersebut juga membincangkan isu hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia yang dilihat tegang disebabkan oleh tindakan beberapa pemimpin politik yang memberikan persepsi buruk mengenai negara ini.

Beberapa insiden yang telah berlaku di negara Indonesia seperti melibatkan pelbagai kempen memburukkan negara Malaysia telah sedikit mencalit persepsi rakyat Indonesia bahawa kedua-dua negara ini berada di dalam hubungan yang tegang. Namun, tidak ramai rakyat Indonesia yang memahami bahawa sebenarnya kedua-dua negara ini mempunyai banyak persamaan yang boleh dikongsi bersama-sama.

Majlis Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia yang bermesyuarat  telah memutuskan untuk mengambil inisiatif membentuk satu program yang boleh melibatkan pemimpin-pemimpin Malaysia memperjelaskan isu sebenarnya kepada rakyat Indonesia.
Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia yang bertindak sebagai Sekretariat di dalam program ini akan memperkenal pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh negara ke luar negara bagi memperjelaskan dan memberikan gambaran yang tepat mengenai pelbagai isu yang telah disalah tafsirkan oleh masyarakat Indonesia disebabkan oleh kempen memburukkan negara ini oleh beberapa pihak.
Majlis pelancaran program ini yang dijadualkan diadakan sekitar penghujung bulan Februari 2011 diharapkan dapat membantu menjalinkan semula hubungan adik abang yang telah sekian lama terjalin sejak dahulu