Saturday, December 25, 2010

Sime Darby saman lagi, tuntut lebih RM92 juta

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Firma konglomerat perladangan negara, Sime Darby Bhd. (Sime Darby) dan tiga subsidiarinya hari ini memfailkan satu lagi saman terhadap bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid serta dua yang lain untuk menuntut ganti rugi RM92,202,627.


Ia ekoran dakwaan melanggar kewajipan dan pecah amanah membabitkan projek empangan Bakun di Sarawak.

Writ saman difailkan menerusi firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim & Co. pada pukul 9.07 pagi di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Dagang Baru) di sini.

Selain Sime Darby, tiga plaintif lain adalah Sime Engineering Sdn. Bhd., Sime Darby Holdings Bhd. dan Sime Darby Energy Sdn. Bhd. menamakan Ahmad Zubir bersama dua bekas pegawai kanan di Bahagian Tenaga dan Utiliti, Datuk Mohamad Shukri Baharom dan Abdul Rahim Ismail sebagai defendan.

Dalam samannya plaintif menyatakan terlibat dalam projek empangan hidroelektrik Bakun iaitu projek hidro kuasa terbesar dengan kapasiti 2,400MW.

Plaintif antaranya menuntut, perintah supaya Ahmad Zubir, Mohamad Shukri (bekas Naib Presiden Eksekutif Bahagian Tenaga dan Utiliti Kumpulan), dan Abdul Rahim (bekas Ketua Pegawai Kewangan Bahagian Tenaga dan Utiliti Kumpulan), membuat restitusi (supaya dikembalikan kepada keadaan asal) RM74 juta dan RM16.5 juta yang didakwa telah dibayar secara salah dalam projek Bakun.

Kesemua plaintif juga menuntut ganti rugi untuk ditaksir dan dibayar oleh semua defendan kerana didakwa dengan salah telah memberi loji-loji kepada Sinohydro Corporation (M) Sdn. Bhd. selain ganti rugi bagi semua kerugian dalam projek tersebut hendaklah dibayar oleh setiap defendan.

Selain itu, Sime Darby menuntut ganti rugi tambahan atau teladan, dan sebagai alternatif, plaintif juga memohon ganti rugi ditaksir atas dasar setiap defendan telah pecah amanah atau melanggar kewajipan fidusiari mereka.

Plaintif juga memohon perintah agar Mohamad Shukri dan Ahmad Zubir membuat restitusi RM851,313.49 setiap seorang berserta faedah.

Menurut plaintif, pada September 2009, Lembaga Pengarah Sime Darby telah menyedari berlaku limpahan kos dalam empat projek yang dilaksanakan bahagian tersebut iaitu Projek Bakun, Projek Qatar Petroleum (QP), Projek Maersk Oil Qatar (MOQ) dan Projek Marin.

Kerugian yang dialami menyebabkan Sime Darby melantik firma perundangan untuk mengendalikan penyiasatan bagi mengenalpasti kesalahan dalam empat projek utama yang bermasalah itu.

Ia juga menyebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendapati berlaku penyelewengan.

Ini merupakan saman kedua yang dikemukakan oleh firma tersebut kepada Ahmad Zubir.

Semalam, firma guaman yang sama telah memfailkan saman berjumlah RM338,413,635 ekoran kerugian RM1.7 bilion yang dialami setelah berlaku kegagalan dalam tiga projek.

Tiga projek berkenaan ialah projek petroleum Qatar, projek minyak Maersk dan projek pembinaan kapal marin.

Selain Sime Darby, empat plaintif lain adalah Sime Darby Engineering, Sime Darby Energy, Sime Darby Marine Sdn. Bhd. dan Sime Darby Marine (Hong Kong).

Mereka menamakan Ahmad Zubir bersama Mohamad Shukri, Abdul Rahim, Abdul Kadir Alias dan Mohd. Zaki Othman (bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering) selaku defendan pertama hingga keempat.

Plaintif dalam saman itu menyatakan, defendan didakwa sengaja menyekat atau menyembunyikan maklumat penting yang dianggap negatif atau memberi maklumat palsu kepada Sime Darby.

Menurut plaintif, defendan juga didakwa telah memperdayakan jawatan kuasa audit dan lembaga pengarah semasa mesyuarat pada September dan November 2006.

Iaitu secara palsu melaporkan bahawa masalah penggantian sub kontraktor telah diselesaikan sedangkan mengetahui ia tidak benar.

Ketika melakukannya plaintif berkata, Mohamad Shukri berniat untuk menyembunyikan pelbagai masalah yang membelenggu projek tersebut sejak mula lagi supaya lembaga pengarah tidak mengetahuinya.

Ahmad Zubir pula dakwa plaintif, mengetahui bahawa Mohamad Shukri tidak bercakap benar semasa melaporkan perkara tersebut.

Sehubungan itu, plaintif menuntut restitusi RM80,510,755 yang telah dibayar dengan salah kepada perunding projek QP.

Abdul Kadir dan Mohd. Zaki juga dituntut membuat restitusi RM6.6 juta yang diberi secara salah selain perintah agar Ahmad Zubir, Abdul Rahim dan Mohamad Shukri membuat restitusi RM6.210 juta yang telah dilepaskan secara salah.

Turut dimohon oleh plaintif, supaya defendan membuat restitusi AS$30,808 juta (RM95,812,880) dan perintah supaya Ahmad Zubir dan Mohamad Shukri mengembalikan AS$48 juta (RM149,280,000) bagi kerugian yang dialami akibat kegagalan menyerahkan tiga vesel dalam projek marin selain menuntut pampasan.

Sebagai alternatif, plaintif berkata, mereka menuntut ganti rugi ditaksir atas dasar bahawa setiap defendan telah bertindak secara pecah amanah dan melanggar kewajipan.

Mahkamah menetapkan 9 Mac depan bagi pengurusan kes saman itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Khairuddin Anhar Mahmud.

sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment