Saturday, December 25, 2010

Sime Darby fail saman

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Firma perladangan konglomerat Sime Darby Bhd. (Sime Darby) hari ini memfailkan saman terhadap Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya dan empat yang lain ekoran kerugian yang dialami RM177 juta melibatkan kegagalan dalam tiga projek.


Selain Sime Darby, empat plaintif lain adalah Sime Darby Engineering Sdn. Bhd., Sime Darby Energy Sdn. Bhd., Sime Darby Marine Sdn. Bhd. dan Sime Darby Marine (Hong Kong).

Kesemua plaintif menamakan empat lagi defendan selain Ahmad Zubir iaitu Pengarah Urusan Sime Engineering Services, Datuk Mohamad Shukri Baharom, Abdul Rahim Ismail, Abdul Kadir Alias dan Mohd. Zaki Othman.

Menurut pengumuman Bursa Malaysia, firma perladangan disenaraikan yang terbesar di dunia dari aspek keluasan ekar itu telah memfailkan writ saman tersebut berhubung Projek Petroleum Qatar, Projek Minyak Maersk dan projek pembinaan kapal marin.

Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan menerusi firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim & Co. di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi (Dagang) di sini hari ini.

Pihak plaintif dalam usaha menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut kepada pihak defendan sebaik sahaja salinan bermetri diperoleh daripada pendaftar mahkamah tersebut.

Dalam saman tersebut, plaintif antaranya menuntut perintah supaya setiap defendan membayar RM80,510,755 yang telah secara salah dibayar kepada perunding-perunding Projek Petroleum Qatar.

Plaintif juga memohon ganti rugi terhadap kesemua kehilangan dan kerugian yang ditanggung dalam projek tersebut untuk dibayar oleh setiap defendan.

Sime Darby turut menuntut sejumlah AS$48 juta daripada Zubir dan Shukri yang didakwa mengakibatkan kerugian di atas kegagalan membekalkan tiga kapal marin.

sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment