Tuesday, September 14, 2010

Tutup operasi The Malaysian Insider

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 8 Sept. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta menutup operasi portal berita The Malaysian Insider kerana berita-berita yang disiarkan selama ini didakwa dilakukan secara semberono, tidak beretika dan berasaskan fakta.

Pada masa sama SKMM serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga diminta menyiasat dan seterusnya mendedahkan pihak yang menjadi pembiaya portal berita itu.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar Ibrahim, Anuar Shaari (gambar) berkata, tindakan itu perlu bagi menghalang The Malaysian Insider daripada terus mempengaruhi rakyat dengan berita-berita yang tidak berasas.

“Apatah lagi timbul dakwaan mengenai hubungan antara Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jahabar Sadiq dengan Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang pasti boleh memberi kesan buruk kepada negara.

“Jahabar juga didakwa mempunyai hubungan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Kalimullah Hassan, Lim Guan Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Metro TV di Indonesia, Surya Paloh dan penulis The Straits Times di Singapura, Riongkali,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang membuat laporan polis berhubung dakwaan hubungan istimewa portal berita propembangkang tersebut dengan tiga pemimpin Bendera di Indonesia.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya percaya dua bukti itu mampu membantu polis dalam penyiasatan kes tersebut.

Seperti mana kenyataan JMM semalam, Anuar juga mahu Jahabar memperjelaskan hubungannya dengan kesemua individu terbabit

Dalam perkembangan sama Anuar berkata, pihaknya percaya melalui hubungan itu Jahabar telah menjadikan The Malaysian Insider sebagai portal berita yang memperjuangkan kepentingan individu tertentu termasuk Anwar dan bukannya rakyat secara keseluruhan.

“Kita semua tahu Anwar sekarang amat terdesak dalam usahanya mengalihkan perhatian orang ramai bagi melengah-lengahkan kes liwatnya. Orang seperti Anwar ini sanggup melakukan apa sahaja,“ katanya.

Selain itu beliau tidak menolak kemungkinan The Malaysian Insider terpengaruh dengan kecenderungan Metro TV yang kini begitu hebat membakar sentimen anti-Malaysia di kalangan rakyat negara itu.

Akibat permainan Metro TV itu, beliau berkata, gerakan anti-Malaysia masih berlaku di republik berkenaan walaupun pada asasnya hubungan antara Malaysia dan Indonesia selama ini cukup terpelihara.

“Inilah yang berlaku sekarang. Atas sebab itu saya terpanggil untuk membangkitkan isu ini kerana kita tidak mahu The Malaysian Insider terus menerus mempengaruhi rakyat dengan menyiarkan berita yang langsung tidak berasaskan fakta.

“Kita khuatir kewujudan portal berita seperti The Malaysian Insider hanya akan memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara,“ katanya

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menyatakan bahawa Kalimullah merupakan individu yang bertanggungjawab mewujudkan The Malaysian Insider.

“Penafian yang dibuatnya sebelum ini tidak cukup kukuh untuk tidak mengaitkannya dengan kewujudan The Malaysian Insider kerana banyak persoalan yang ditimbulkan tidak terjawab,“ katanya.

-source Utusan Malaysia 09/09/2010