Tuesday, September 14, 2010

SKMM gagal kenakan tindakan tegas - Mesti berani bertindak

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Kegagalan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan tindakan tegas ke atas The Malaysian Insider telah menyebabkan portal berita itu sehingga kini bebas menyebarkan agenda membenci kerajaan selain membangkitkan provokasi di dalam negara

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sepatutnya sebagai badan berkuasa yang bertanggungjawab terhadap dunia siber, SKMM perlu segera bertindak dan bukannya membiarkan portal berita berkenaan menyebarkan agendanya itu.

Justeru tidak keterlaluan beliau berkata, SKMM gagal berfungsi sebagai penguat kuasa undang-undang siber hingga menyebabkan blog dan media alternatif seperti The Malaysian Insider bebas memperjuangkan agenda masing-masing walaupun ia memberi kesan buruk kepada negara.

''Sebelum ini pelbagai desakan telah dibuat oleh beberapa pihak di media mengenai bahayanya The Malaysian Insider dan keperluan untuk mendedahkan siapakah dalang di sebalik operasi portal berita ini.

''Namun sehingga kini tidak ada apa yang berlaku. The Malaysian Insider terus beroperasi menyiarkan berita-berita yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh pihak SKMM,'' katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu mengenai The Malaysian Insider itu mula tercetus apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jahabar Sadiq diminta oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menjelaskan hubungannya dengan pemimpin Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) bagi memastikan tiada unsur pengkhianatan dilakukan ke atas Malaysia.

Ekoran daripada itu Jaringan Melayu Malaysia (JMM) telah membuat laporan polis berhubung dakwaan hubungan istimewa The Malaysian Insider dengan tiga pemimpin Bendera di Indonesia.

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari pula pernah mendesak SKMM menutup operasi portal berita tersebut kerana berita-berita yang disiarkan selama ini didakwa dilakukan secara semberono, tidak beretika dan tidak berasaskan fakta.

Selain SKMM serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga diminta menyiasat dan seterusnya mendedahkan pihak yang menjadi pembiaya portal berita berkenaan.

Mohd. Puad berkata, bagi mengelakkan negara berhadapan dengan masalah lebih besar kerajaan perlu berbuat sesuatu terhadap SKMM supaya berita berbentuk kebencian dan provokasi yang disiarkan oleh media alternatif seperti The Malaysian Insider dapat segera dibendung.

''Secara peribadi saya mahu SKMM dirombak. Selagi SKMM diterajui oleh pihak yang sama, suruhanjaya itu tidak akan dapat menjalankan fungsinya dengan baik.

''Saya sebenarnya cukup hairan dengan SKMM ini. Bagi saya SKMM kini terlalu lembap. Walaupun pelbagai pendedahan terutama mengenai bahaya yang dilakukan oleh The Malaysian Insider, portal berita ini langsung tidak dikenakan tindakan,'' katanya.

Beliau berkata, adakah tindakan hanya akan diambil ketika negara dalam keadaan parah.

''Saya minta kerajaan melihat isu ini dengan serius kerana kegagalan SKMM menangani isu The Malaysian Insider boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada negara.

''Kerajaan tidak harus lepas pandang kerana ia hanya akan menyebabkan agenda membenci kerajaan serta usaha-usaha mencetuskan provokasi di dalam negara dibiarkan secara berleluasa,'' ujarnya.

-source Utusan Malaysia 13-09-2010

No comments:

Post a Comment