Tuesday, June 19, 2012

Rakyat menanti jawapan Wan Azizah


KUALA LUMPUR 17 Jun - Rakyat masih berharap Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail 'membuka mulut' bagi menjawab tuduhan yang dikemukakan beberapa pihak mengenai salah laku moral membabitkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Farahhana Jamaludin berkata, bukan sahaja membuka mulut, rakyat juga mahu melihat Wan Azizah mengadakan sidang akhbar bersama Shamsidar Taharin bagi membuat penafian secara terbuka terhadap dakwaan Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Datuk S. Nallakaruppan berkaitan hubungan sulit Anwar.




"Kita yakin rakyat masih menunggu Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengadakan sidang akhbar bersama bagi membersihkan nama serta maruah beliau dan Anwar, Shamsidar (isteri Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali) serta parti itu sendiri.

"Bagi JMM, kita sendiri masih menunggu Wan Azizah mengadakan dan mempercepatkan sidang akhbar bersama antara beliau dengan Shamsidar bagi membuat penafian secara terbuka terhadap dakwaan Nallakaruppan berkaitan hubungan sulit Anwar dengan Shamsidar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nallakaruppan yang pernah menjadi rakan karib Anwar sebelum ini mendedahkan Shamsidar mempunyai hubungan sulit dengan Anwar.

Malah, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah juga secara lantang mempersoalkan hubungan Nurul Izzah Anwar dengan Affifah Azmin dari segi hukum syarak.

Mengulas lanjut, Farahhana berkata, sebagai Presiden PKR, Wan Azizah harus menjawab dakwaan-dakwaan negatif tersebut.

"Oleh itu adalah wajar bagi Wan Azizah untuk ambil langkah proaktif dan tidak hanya tunduk berdiam diri.

"Keengganan Wan Azizah adakan sidang akhbar bersama juga merupakan kegagalan kepimpinan tertinggi PKR dan parti untuk memujuk beliau (membersihkan nama)," tambahnya.