Monday, March 12, 2012

Penyakit rosakkan bangsa

ALAF ini Malaysia dikejutkan dengan gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang lantang menuntut pengiktirafan atas nama hak asasi selepas mendapat inspirasi daripada pemimpin tertentu.



Malah tanpa segan silu, gerakan ini yang disokong pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang keahliannya rata-rata orang Melayu, cuba menganjurkan Seksualiti Merdeka dan kini menuntut hak tersebut di mahkamah.

Melihat kebangkitan LGBT bukan sahaja mengancam asas kekeluargaan malah mengundang kemurkaan Allah, wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. ASRON MUSTAPHA dan NIZAM YATIM menemubual Kaunselor Berdaftar, HUSHIM SALLEH, dari firma Hushim Motivational & Counselling Consultancy (HMCC) yang telah mengendali lebih 1, 000 golongan songsang.


Menurut HUSHIM, kerajaan perlu menangani isu LGBT dengan cepat dan tegas kerana penyakit sosial tersebut telah merebak menjadi barah dalam masyarakat memandangkan pengamalnya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli politik.

Katanya, individu yang terlibat dan mengamalkan budaya songsang ini adalah manusia yang sakit jiwa selain mempunyai perwatakan pelbagai personaliti (split identity) yang sentiasa berubah-ubah serta berpegang kepada prinsip liberalisme.


MINGGUAN: Kenapa memilih golongan yang mengamal gaya hidup songsang sebagai subjek kajian dan kepakaran kaunseling saudara?

HUSHIM: Sebagai kaunselor saya terfikir apa nak jadi dengan bangsa dan kaum Melayu ini. Saya tengok makin hari makin bertambah. Malah sebelum gerakan LGBT nak dilancarkan saya sudah diberitahu oleh lelaki-lelaki gay dan biseksual, bahawa mereka akan menubuhkan persatuan bagi mendesak kerajaan.

Mereka nak kerajaan iktiraf kehidupan songsang, maknanya perkahwinan sejenis dibolehkan. Sebab itu apabila LGBT dilancarkan pada tahun lepas saya tidak hairan kerana sebagai kaunselor saya dah tahu lebih awal. Tapi mungkin kerana saya ini cuma orang biasa, maklumat itu hanya berada dalam ruang lingkup saya.

Sebagai seorang kaunselor, bapa dan individu muslim saya bertanggungjawab untuk bercakap kerana penyakit ini telah mula merosakkan bangsa kita. Amalan songsang ini dilaknat Allah dan penyebab paling cepat untuk kita diturunkan bala. Mungkin sesetengah pihak menganggap perkara ini sengaja digembar-gemburkan tetapi saya bercakap demi bangsa dan agama tanpa sebarang kepentingan peribadi.

Gaya hidup LGBT selalu dikaitkan dengan sekolah berasrama sebagai titik permulaan kepada kehidupan songsang mereka, adakah dakwaan itu benar?

HUSHIM: Berdasarkan kes yang saya kendalikan memang benar sekolah berasrama merupakan permulaan kepada penularan budaya songsang tetapi sekolah pondok dan agama juga tidak terkecuali. Mungkin ramai yang marah dengan kenyataan saya tetapi melihat kepada masalah LGBT pada hari ini, kita perlu jujur.

Kalau ibu bapa hari ini merasakan mempunyai anak lelaki lebih selamat berbanding anak perempuan, ia meleset sama sekali. Kebarangkalian anak-anak lelaki hari ini terjebak ke dalam kancah gaya hidup songsang sangat tinggi jika kita tidak peka dengan perubahan sikap anak-anak.

Perlukah dihapuskan sekolah berasrama satu jantina?

HUSHIM: Tidak perlu hapuskan, cuma kita perlu perbanyakkan program berbentuk kesedaran kepada pelajar tentang bahaya LGBT. Sebab di Malaysia, hendak bercakap benda macam ini, kita biasanya malu. Ibu bapa malu nak cakap perkara ini dengan anak, cikgu dalam kelas pun malu nak bercakap.

Satu lagi minta maaflah, kita ini terlalu banyak sangat letak bawah karpet. Kalau sekolah itu berlaku kes melibatkan isu LGBT, pengetua cuba tutup. Cakap tiada apa yang berlaku, sekolah ini okey, tetapi di luar sana orang sudah bercakap, meleleh bernanah sudah orang bercakap.

Apa punca yang menyebabkan LGBT ini menular dan apakah golongan ini boleh dilabel sebagai orang berpenyakit?

HUSHIM: Minta maaf cakap kerana dari pengalaman saya mengendalikan kes, orang agama sendiri terlibat sebagai gay. Mereka ini golongan split identity, maknanya sebelah pagi dia boleh jadi imam kemudian tengah hari meliwat orang. Pengetahuan agama tidak cukup jika tiada iman, sebaliknya kelebihan ilmu agama itu diguna untuk mengaburi mata orang ramai.

Amalan dilaknat ini berlaku kerana tabiat. Mereka yang terjebak seronok dengan kenikmatan luar tabie berbanding hubungan seks dengan isteri. Sebab itu Allah melarang dalam al-Quran kerana apabila seseorang sudah terjebak, gay dan biseksual ini umpama ketagih dadah. Mereka menjadi ketagih walaupun sudah beristeri.

Dari segi ilmu kaunseling memang benar orang yang terlibat dengan budaya LGBT adalah orang sakit. Mereka sebenarnya sakit jiwa walaupun dikurnia mental yang bijak. Kalau jati diri kita tetap, tarikan pada jantina berbeza tetapi orang macam ini tidak. Gay ini pula terbahagi kepada tiga golongan iaitu homoseksual, heteroseksual dan biseksual.

Homoseksual dia memberi dan menerima. kebanyakan terdiri daripada lelaki-lelaki macho. Heteroseksual pula hanya memberi sahaja manakala biseksual paling bahaya kerana mereka tidak pernah puas dan boleh berada dimana-mana sahaja dalam masyarakat. Gay adalah manusia yang paling susah dikesan kerana mereka berperwatakan seperti sesumpah.

Mereka boleh jadi sesiapa sahaja sama ada ahli politik, golongan profesional atau pelajar dan fahaman kumpulan ini adalah hak asasi serta liberalisme. Sebab itu, jika kerajaan akur kepada tuntutan kumpulan LGBT, negara kita akan hancur dan tidak mustahil suatu hari nanti Perdana Menteri kita mungkin seorang gay.

Apakah penyakit jiwa ini boleh diubati?

HUSHIM: Penyakit ini boleh dipulihkan, tetapi gay ini dia soal jiwa dan ketagih. Kita kena pulihkan melalui pendekatan agama dan terapi kaunseling tetapi dalam tempoh yang agak lama.

Sejauh mana seriusnya ancaman LGBT terutama dalam konteks sosial dan akidah di Malaysia pada hari ini?

HUSHIM: Saya berpengalaman mengendalikan kaunseling kepada golongan ini sejak 20 tahun lalu. Lima tahun kebelakangan ini saya dapati gay dan biseksual meningkat begitu mendadak dan berdasarkan pengakuan golongan ini, mereka mendakwa daripada 10 lelaki di bandar, tiga adalah gay manakala di luar bandar dua adalah gay. Ini tidak termasuk pondan dan lesbian. Sebab itu, saya harap semua pihak jangan pandang remeh benda ini. Saya sanggup berdebat demi mempertahankan fakta ini.

Kelompok LGBT kini menular di institusi pengajian tinggi dan malangnya, rata-rata yang terlibat adalah Melayu. Mereka bergerak menggunakan laman sosial untuk mengumpul kekuatan sehinggalah lahir apa yang kita panggil hari ini sebagai LGBT. Mereka inilah yang akan jadi pemimpin masa depan.

Soalnya apa akan jadi jika golongan muda yang dianggap sebagai pemimpin masa depan ini kelak adalah gay? Bukankah pada masa itu segala tuntutan LGBT ini akan diiktiraf kerana pemimpin negara kita pada masa itu juga pengamal dan penyokong kepada budaya laknat ini.

Inilah yang saya panggil sebagai barah dalam masyarakat sebagaimana disebut dalam al-Quran surah as-Syuraa ayat 165-166, malah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bersabda: “Sesungguhnya perkara yang paling Aku takutkan atas umatku adalah perbuatan kaum Luth (homoseksual),”.

Berdasarkan trend semasa, saya tidak menolak kemungkinan dalam masa beberapa tahun lagi jika kerajaan tidak tegas dalam menangani isu LGBT akan lahir ahli politik atau ahli Parlimen dari kalangan gay. Hari ini pun kita sudah dihidangkan dengan bukti-bukti yang mewajarkan kebimbangan itu kerana terdapat ahli politik menyokong LGBT.

Apakah faktor sokongan politik dan kemunculan ahli politik yang dianggap sebagai ikon oleh golongan LGBT telah menyemarakkan barah ini?

HUSHIM: Dahulu isu LGBT ini tidak terlalu menonjol kerana beberapa sebab antaranya, kemudahan teknologi maklumat terbatas tetapi kini semua akses itu di hujung jari. Berbanding dahulu, masyarakat Malaysia kini berfikiran liberal. Berapa ramai orang Melayu yang sokong LGBT? Siapa yang fail petisyen di mahkamah?

Kalau melihat kepada perkembangan semasa, terdapat individu berpengaruh yang menjadi ikon kepada kumpulan LGBT sehingga menyemarak gerakan songsang ini. Sebab itu pemimpin politik kena bersih daripada isu-isu moral dan setiap pemimpin tidak boleh mengamal budaya sebegini.
LGBT juga dilihat sebagai ancaman kepada asas kekeluargaan, apakah peningkatan kes perceraian di Malaysia turut disumbang oleh budaya songsang ini?

HUSHIM: Saya sangat optimis yang peningkatan kes perceraian turut disumbang masalah ini. Umpama dalam kes terbaru yang saya kendalikan, seorang isteri yang masih muda mendakwa dirinya sentiasa diliwat dan hasil siasatan mendapati suaminya seorang biseksual. Mereka kini dalam proses perceraian. Sebelum ini pun banyak kes serupa saya kendalikan.

Apa yang perlu dilakukan kerajaan bagi mengekang LGBT?

HUSHIM: Kerajaan kena letakkan masalah ini sebagai satu keutamaan kerana selain memporak-peranda sistem kekeluargaan, agama Islam juga terancam. Saya tengok hari ini, yang memperjuangkan LGBT ramai orang Melayu.

Bagi saya kerajaan kena buat satu modul bagi menghalang LGBT habis-habisan di peringkat awal sejak sekolah rendah lagi. Selain itu, yang paling bahaya peringkat sekolah menengah sebab mereka ini akan pergi ke universiti. Di universiti sudah ramai. Saya cakap terus-terang, di universiti sudah ramai puak-puak ini.

Tapi di Malaysia, kita bertindak kadang-kadang mengikut musim. Kita tak serius dan tidak tegas. Kita terlalu banyak retorik dan berpolitik dalam soal ini, tidak kira apa fahaman politik kita. Sedangkan Ini soal masa depan anak-anak kita.

Adakah perlu pendekatan seperti pusat pemulihan penagih dadah?

HUSHIM: Boleh diguna pakai kaedah macam ini dan saya fikir bagus kalau ada institusi khusus macam kita buat pemulihan dadah tetapi sekarang tak ada. Kita hanya ada pusat ibu mengandung anak luar nikah yang dibuat oleh NGO. Saya menyokong penubuhan pusat seperti ini dan kerajaan mesti buat. Kalau kita tidak tangani, Allah akan turun bala yang amat dahsyat. Tunggulah kerana ini ada dalam al-Quran.

Komen terhadap pihak yang mempertikai undang-undang menyekat LGBT?

HUSHIM: Kalau kita mengucap dua kalimah syahadat, kita orang Islam dan kita membaca al-Quran kita tidak akan bercakap macam itu. Sebab bila kita bercakap macam itu, seolah-olah kita menyokong. Sedangkan kita tahu LGBT ini menyalahi hukum Islam yang dijelas dengan terang dalam al-Quran.

Saya tetap tidak bersetuju dengan pandangan menyatakan kita kena beri peluang kepada puak-puak ini. Al-Quran sudah nyatakan terang-terang, ini bukan buku yang ditulis oleh Stephen R. Covey atau Edward de Bono. Tak takutkah kita kepada hukum Allah? Kalau pun nak bercakap, rujuk dulu al-Quran.

Ingatlah ini dosa besar. Kita perlu hayati hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Empat golongan yang berada dalam kemurkaan Allah pada pagi dan petang iaitu golongan lelaki yang menyerupai perempuan; perempuan yang menyerupai lelaki; penzina dengan binatang dan golongan yang melakukan liwat.”

No comments:

Post a Comment